Tragedi tanah runtuh yang berlaku di tapak perkhemahan Batang Kali, Selangor adalah satu kejadian menyedihkan buat rakyat Malaysia. Peristiwa menyedihkan ini juga turut meragut puluhan nyawa mangsa-mangsa yang berada di kawasan perkhemahan tersebut.
Terbaru, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan sebanyak RM10,000 kepada mangsa yang terkorban dalam insiden tanah runtuh ini. Manakala bantuan RM1,000 kepada setiap keluarga yang terlibat dalam tragedi ini.
Difahamkan, bantuan itu akan disalurkan menerusi kerajaan Negeri Selangor kepada keluarga mangsa. Tambah Perdana Menteri, bantuan berkenaan akan diuruskan oleh kerajaan negeri dalam kadar segera.
Ada yang tak puas hati
Walau bagaimanapun, ada pula individu yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan pengumuman bantuan tersebut. Menerusi hantaran yang dimuat naik di Twitter, individu tersebut memberitahu jumlah bantuan yang diberikan adalah terlalu banyak dan tidak patut.
“Weh terlebih 1 angka ke? 10K kot banyak, depa kerja gomen kaya kot. Kalau tak mesti dorang pergi camp site yang biasa-biasa je takde lah pi tempat instagrammable ni.”
Tambah individu itu lagi, jumlah bantuan yang diberikan tidak patut dengan alasan mangsa-mangsa yang terlibat adalah pekerja di sektor kerajaan dan mempunyai pendapatan yang tinggi. Tidak hanya berhenti di situ, individu tersebut berpendapat bantuan itu sepatutnya diberikan kepada golongan daif yang memerlukan.
Netizen nasihat jangan busuk hati
Perkongsian tersebut kemudiannya menerima kritikan dan kecaman hebat dari netizen yang menepis semula kenyataan dari individu itu. Malah ramai yang berpendapat individu tersebut mempunyai penyakit hati dan tidak mampu melihat orang lain dalam kesenangan.
Tambah netizen, jumlah bantuan yang diberikan itu adalah untuk membantu kos pengebumian yang mahal dan juga kos-kos lain melibatkan mangsa yang terkorban. Dalam masa yang sama, netizen turut menasihati orang ramai untuk lebih sensitif dengan isu seperti ini.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.