Seperti yang ramai tahu, pelakon Puteri Sarah telah berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah umrah bersama dua anaknya, Syaikhul Islam dan Sumayyah. Sebelum berlepas, Puteri Sarah ditemani oleh kaum keluarga dan sahabat rapat yang hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Namun kelibat suaminya, Syamsul Yusof tidak kelihatan menemani mereka sekaligus menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan netizen. Difahamkan, pelakon wanita itu hanya ditemani kru dan peserta umrah yang lain untuk mengerjakan ibadah umrah kali ini.
Baru-baru ini pula, Puteri Sarah sempat berkongsikan video memaparkan gelagat anak sulungnya, Syaikhul semasa berada di sana. Di dalam video tersebut, Syaikhul dilihat sedang diriba oleh seorang lelaki Arab yang berada di sana bersama isterinya.
Malah pasangan suami isteri itu juga dilihat begitu suka dan sayang pada kanak-kanak lelaki itu seolah-olah anak mereka sendiri. Pasangan itu turut mencium dahi Syaikhul dan menghulurkan duit belanja untuk kanak-kanak itu dan adiknya Sumayyah.
Perkongsian video itu kemudiannya dihujani dengan komen terharu dari netizen yang rata-ratanya berasa sebak melihat gelagat manja Syaikhul ini. Dalam masa yang sama, netizen turut memuji Syaikhul yang dilihat mudah bergaul dengan orang tua dan kelihatan sangat mesra dengan pasangan itu walaupun tidak mengenali mereka.
Komen netizen
“Sebak pulak tengok video ni. Masa Syaikhul duduk atas riba orang Egypt tu mungkin dia teringat ayah dia, rindu kasih sayang ayah dia.”
“Hati tisu betul lah saya ni, boleh pulak bantai menangis tengok abang duduk dengan uncle tu.”
“Syaikhul nampak matang. Mudah mesra dengan orang. Pandai bergaul. Ruginya ayah dia tak ngadap momen momen ni.”
Sekadar info, Puteri Sarah telah memfailkan tuntutan cerai terhadap suaminya Syamsul Yusof. Terdahulu, pengarah filem itu telah membuat pengakuan dia sudah berkahwin dengan seorang wanita dikenali sebagai Ira Kazar di Thailand berwalikan bapa pengantin perempuan sendiri.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.