Semenjak hubungannya bersama pelawak Shuib hangat diperkatakan ramai, Watie semakin menjadi perhatian netizen di media sosial. Malah apa sahaja yang dimuat naik di akaun media sosialnya pasti akan menjadi bualan ramai.
Terbaru, Watie mengakui dirinya masih banyak kekurangan diri dan sedar ada banyak perkara yang perlu diperbaiki. Terdahulu, nama Watie menjadi bualan apabila tular videonya di Tik Tok di mana dia dilihat memakai set lengkap blazer berwarna putih dan berjalan-jalan di sebuah pusat membeli belah.
Namun apa yang menjadi bualan ramai ialah cara usahawan itu berjalan dengan posisi tubuh badannya sehingga menampakkan bahagian punggungnya. Video yang dimuat naik itu kemudiannya dipadamkan dari akaun Tik Toknya selepas menerima kecaman dari netizen.
Di dalam perkongsian terbaru di Instagram, Watie mengakui imannya ada kala turun naik dan tidak mudah untuk istiqamah dengan penampilannya itu. Namun dia meluahkan rasa bersyukur apabila kini sudah genap setahun dia mengenakan hijab dan melalui proses penghijrahan diri.
“Alhamdulillah genap setahun berhijab walau kadang kala iman naik turun, walau kadang kala bila pi shopping baju mata ni duk pandang fesyen yang dah tak boleh di pakai.”
Menurut Watie, dia sedar dirinya masih ada banyak kekurangan yang perlu diperbaiki namun dia akan sentiasa berusaha perlahan-lahan untuk memperbaiki dirinya menjadi lebih baik. Dalam masa yang sama, usahawan itu turut berharap orang ramai dapat mendoakan yang terbaik untuknya.
“Sedar masih banyak kekurangan diri. Sedar masih banyak yang perlu diperbaiki. Sedar masih banyak yang perlu ditutupi.”
Perkongsian itu turut menerima sokongan dari netizen termasuklah Shuib yang turut sama menitipkan kata-kata semangat buatnya. Terdahulu, Shuib tidak lagi berselindung tentang hubungannya bersama Watie malah dilihat sempat meninggalkan ucapan semasa ulang tahun kelahiran usahawan itu baru-baru ini.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.