Semalam ikon permotoran Haqiem Stopa mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan menyimpan gambar dan video lucah bekas kekasihnya dalam dua telefon bimbit. Kes ini turut mengejutkan ramai dengan berita penangkapan ikon permotoran belia itu.
Sebelum ini, Haqiem Stopa ditahan reman selama empat hari selepas pihak polis menerima laporan ‘influencer’ tersebut mengugut mahu menyebarkan gambar lucah mangsa. Susulan isu yang hangat diperkatakan ini, seorang wanita dipercayai kakak kepada Haqiem Stopa tampil mempertahankan adiknya.
Kakak dakwa tahu hal sebenar
Menerusi beberapa video yang dimuat naik di Tik Tok, wanita tersebut mendakwa Haqiem Stopa telah dianiaya oleh bekas kekasihnya itu. Menurut wanita itu, inilah harga yang perlu dibayar apabila seorang lelaki tergila-gilakan seorang wanita yang dicintainya.
“Kerana dendam seorang perempuan kau kena sampai tahap ni. Aku tahu kau pun ada salah tapi perempuan tu punya pasal keburukan kau semua tersebar.”
Dianiaya bekas kekasih
Walau bagaimanapun, wanita itu menegaskan salah tetap salah dan mengakui kedua-duanya mempunyai kesalahan mereka sendiri. Namun dia tidak menyangka wanita yang pernah bertakhta di hati adiknya itu tergamak untuk menganiaya Haqiem Stopa dengan begitu teruk sekali.
Tetap beri sokongan kepada Haqiem
Malah wanita itu turut mempersoalkan tindakan mangsa yang tidak berbincang dengan keluarganya terlebih dahulu sedangkan hal-hal lain boleh saja disampaikan kepadanya. Dalam masa yang sama, wanita itu tetap menunjukkan sokongannya kepada Haqiem Stopa dan memberitahu kebenaran akan terbongkar juga satu hari nanti.
Terdahulu, Haqiem Stopa didakwa menyimpan gambar dan video lucah bekas kekasihnya dan didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira 4.30 petang pada 9 Disember lalu di sebuah rumah di Rawang.
Pertuduhan terhadap Haqiem Stopa atau nama sebenarnya Muhammad Sadzri Hakim Jaafar dibuat mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.