Tindakan merekod atau merakam di dalam panggung wayang adalah tidak dibenarkan malah perkara ini sudah diumumkan setiap kali sebelum filem bermula. Namun ada juga segelintir individu yang mementingkan diri sendiri melanggar peraturan yang telah ditetapkan ini.
Sama seperti sebuah video yang tular di Twitter apabila pekerja di sebuah panggung wayang berjaya menangkap dua wanita yang sedang merakam filem. Walaupun sudah ditegur oleh pekerja itu, wanita tersebut masih lagi berdegil dan enggan memberikan kerjasama apabila diminta untuk memadamkan rakaman di dalam telefonnya.
Lebih membangkitkan kemarahan ramai, wanita itu juga seakan-akan tidak mahu mengaku kesalahannya dan bertegas dia membayar duit tiket wayang. Walaupun dia menafikannya, netizen menjumpai rakaman babak-babak filem di akaun Tik Tok milik wanita tersebut.
Perkongsian itu turut menimbulkan kemarahan ramai ditambah pula dengan sikap degil wanita itu yang enggan mengakui kesalahannya. Difahamkan, isu tersebut telah pun menerima perhatian pihak TGV Cinemas di mana mereka akan menyiasat insiden yang berlaku ini.
Dalam masa yang sama, netizen turut berharap tindakan dapat dikenakan terhadap wanita itu yang bukan sahaja merakamkan filem malah turut menyebarkannya di akaun Tik Tok. Berdasarkan tinjauan di akaun Tik Tok milik wanita itu, masih terdapat lagi beberapa rakaman filem yang belum dipadamkan.
Malah di ruangan komen juga telah dihujani dengan komen-komen netizen yang menasihatkan wanita itu mengakui kesilapannya sebelum terlambat. Netizen turut meminta wanita itu bersiap sedia untuk disaman oleh pihak panggung wayang susulan insiden tersebut.
“Hm ready kumpul duit banyak banyak kak risau ke dalam nanti.”
“Dah terang terang dah bagitau takleh rekod dalam cinema. Review pun lepas tengok cerita tu. Btw kumpul duit banyak-banyak tau sis.”
“Tiket filem akak kali ni memang mahal kak.”
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.