Pelakon dan penyanyi, Abby Abadi baru-baru ini berasa terpanggil untuk memberikan respon selepas namanya kembali diungkit susulan kontroversi rumah tangga Syamsul Yusof dan Puteri Sarah. Difahamkan, nama Abby Abadi menjadi bualan apabila kes perceraiannya bersama Norman Hakim satu ketika dahulu kembali diungkit semula.
Menerusi video yang dimuat naik di Tik Tok, Abby Abadi memberitahu dia tidak pernah ‘menyerang’ sesiapa semasa isu rumah tangganya menjadi perhatian ramai. Tambahnya, pada ketika itu juga dia tidak tahu siapakah yang menjadi orang ketiga dalam hubungannya bersama bekas suami.
Abby turut meluahkan rasa kesal apabila dirinya sentiasa menjadi bualan setiap kali timbulnya isu rumah tangga dalam kalangan selebriti yang berkaitan dengan orang ketiga sehingga mendatangkan fitnah untuknya.
“Bila ada isu rumah tangga di kalangan artis, ada yang curang, mesti terkait dan dikaitkan juga dengan saya ye. Saya buat video seronok-seronok pun macam-macam orang kata.”
Kontroversi lama diungkit
Dia juga menjelaskan insiden kekecohan yang berlaku satu ketika dahulu di mana dia hadir di set penggambaran lakonan bekas suaminya. Menurutnya, itu hanyalah untuk mendapatkan penjelasan dan bukannya pergaduhan seperti yang didakwa ramai.
“Yang kata saya serang ex dekat lokasi shooting, saya mencari je sebab lama tak jumpa dan nakkan penjelasan. Takde bawa senjata apa pun. Dan bila jumpa orang kata saya marah-marah, nangis-nangis, dah tu? Takkan saya nak seronok kalau ex tak balik-balik dan sampai dah nak bercerai bagai?”
Abby turut memberitahu dia bukanlah seorang yang suka bercerita mengenai hal peribadinya dan menganggap bekas suaminya sebagai bernasib baik kerana dia menyimpan semua kisah yang terjadi. Dalam masa yang sama, Abby meminta netizen untuk berhenti membuat spekulasi mengenai insiden yang pernah berlaku dalam hidupnya satu ketika dahulu.
Sekadar info, Abby Abadi dan Norman Hakim pernah mendirikan rumah tangga pada tahun 2002 sebelum bercerai tujuh tahun kemudiannya. Pada September 2011, Norman mendirikan rumah tangga dengan pelakon Memey Suhaiza manakala Abby berkahwin dengan suaminya kini pada tahun 2015.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.