Sejak kebelakangan ini, semakin banyak pula kisah orang ketiga atau ‘penyondol’ yang berlaku pada selebriti tanah air. Terbaru, kisah rumah tangga pelakon Hafidz Roshdi dan isterinya menjadi bualan hangat gara-gara orang ketiga yang telah pun membuat permohonan maaf secara terbuka.
Walaupun sebelum ini pelakon itu menafikan dakwaan curang itu, ia akhirnya terbongkar selepas isterinya sendiri mendedahkan kepada umum di media sosial. Sedar namanya kini menjadi bualan ramai, Hafidz telah memuat naik satu perkongsian di Instagram dengan gambar yang mencuri tumpuan ramai.
Menerusi hantaran itu, Hafidz berkongsikan gambarnya berpegangan tangan dengan seseorang yang tidak diketahui identitinya namun dipercayai adalah isterinya. Di ruangan kapsyen, pelakon itu memberikan bayangan seolah-olah hubungannya bersama isteri sudah baik selepas permohonan maaf dari orang ketiga itu.
“Alhamdulillah terima kasih yang mendoakan kebahagiaan kami sekeluarga. Doakan hubungan kami kekal hingga ke Syurga Firdausi, Amin.”
Bukan itu sahaja, Hafidz juga turut berkongsikan lokasinya yang kini berada di Kangar, Perlis di mana dia dipercayai pulang ke kampung halaman untuk bertemu dengan isterinya. Pelakon itu turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mendoakan hubungan mereka sebagai suami isteri.
Diperli netizen
Walau bagaimanapun, perkongsian itu telah menerima sindiran dari netizen yang memerli tindakan pelakon itu memuat naik gambar tersebut. Malah ada juga yang menyindir sama ada gambar tangan itu adalah tangan isterinya ataupun ‘penyondol’ yang menjadi punca kemelut rumah tangganya itu.
“Tangan sendiri ke tu lagi sebelah.”
“Tahniah lah, tapi tangan penyondol ke tangan isteri halal ni? Setakat tangan, acah-acah pegang tangan mak pun boleh tulis caption sama.”
“Biasalah dah curang baru nak insaf.”
Terdahulu, Athira Yuhada yang menjadi orang ketiga dalam rumah tangga Hafidz Roshdi tampil membuat permohonan maaf. Namun isteri kepada pelakon itu menempelak beberapa kenyataan dari wanita itu yang dikatakan bercanggah di mana dia seolah-olah cuba meletakkan kesalahan itu pada suaminya sahaja.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.