Banyak perkara menarik yang dapat disaksikan di dalam Piala Dunia 2022 ini antaranya kemenangan dan kekalahan pasukan yang tidak dapat dijangka kali ini. Tidak terlepas, pemain sensasi dari Korea Selatan yang kini menjadi tumpuan ramai dek wajah kacaknya.
Penyerang Korea Cho Gue Sung bukan sahaja menjadi bualan ramai selepas jaringan golnya semasa menentang pasukan Ghana malah kerana wajah kacaknya yang disamakan dengan bintang K-Pop terkenal.
Difahamkan, pemain itu menerima tumpuan peminat dari seluruh dunia sehinggakan jumlah pengikutnya di Instagram melonjak naik selepas perlawanan tersebut. Sebelum ini, akaun tersebut hanya mempunyai kira-kira 20,000 pengikut namun kini sudah meraih lebih dari dua juta pengikut di Instagram.
Video viral di media sosial
Pemain itu mula menjadi bualan selepas videonya duduk di bangku pemain semasa Piala Dunia di Qatar menjadi viral di media sosial dan meraih lebih 8 juta tontonan. Bermula dari situ, ramai yang tertanya-tanya tentang identiti pemain berusia 24 tahun itu dan turut ‘menyerang’ akaun media sosialnya.
Terpaksa matikan telefon
Menurut wartawan Seo Jung Hwan, telefon pemain itu tidak berhenti menerima notifikasi dari peminatnya sehinggakan pemain itu terpaksa mematikan telefonnya untuk berehat selain mahu fokus kepada permainan.
“Dia perlu berehat. Telefonnya penuh notifikasi sepanjang malam. Ia membuatkan dia terjaga. Dia cuba fokus kepada bola sepak. Mesej peminat masuk sepanjang masa.”
Tidak banyak maklumat peribadi yang diketahui mengenai Cho Gue Sung namun difahamkan dia sudah pun mempunyai teman wanita. Baru-baru ini juga, namanya dikaitkan dengan beberapa gosip percintaan dengan seorang model dan kakak kepada ahli kumpulan K-Pop tetapi tidak dipastikan kesahihannya.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.