Tular satu hantaran video di Twitter ketika ini memaparkan aksi pelakon Beto Kusyairy bersilat di dalam sebuah iklan. Di dalam video yang dimuat naik itu, Beto selaku duta kepada jenama baju Melayu itu terlibat di dalam iklan promosi jenama tersebut sempena koleksi teluk belanga yang dilancarkan.
Lebih menarik lagi, iklan tersebut mengambil inspirasi dari filem pecah panggung iaitu Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang dibintangi oleh Beto. Malah Beto turut melakonkan semula babak aksi di mana dia bersilat menghadap beberapa orang musuh di dalam iklan tersebut.
Pengasas jenama terbabit berkongsikan video tersebut di Twitter yang kemudiannya menjadi bualan netizen. Kebanyakan netizen turut memuji kualiti iklan tersebut yang dikatakan setaraf dengan filem asal malah suntingan dan kerja kamera yang lebih baik.
Dalam masa yang sama, netizen memberikan pujian kepada Beto yang tidak pernah mengecewakan ramai dengan hasil kerjanya selama ini. Malah netizen menganggap pelakon yang berusia 43 tahun ini sentiasa memberikan persembahan yang terbaik di dalam setiap projek yang disertainya.
“Wei kenapa camerawork dia lagi power dari filem asal. Level neflix ni.”
“Kualiti gambar dan angle camera lagi elok dari cerita mat kilau.”
“Beto punya performance tak pernah mengecewakan.”
Selain Beto Kusyairy, iklan promosi jenama Bulan Bintang ini turut dibintangi pelakon Hannah Delisha yang juga merupakan salah seorang duta produk. Kebanyakan netizen turut meluahkan rasa kagum dengan kualiti pemasaran jenama terbabit yang tampil dengan idea kreatif serta lain daripada yang lain.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.