Bagi mereka yang pernah bersekolah di sekolah asrama penuh, mesti sudah biasa dengan pemeriksaan mengejut yang selalu dilakukan oleh cikgu dan warden. Selalunya untuk ‘spotcheck’ seperti ini, para cikgu akan merampas barang-barang terlarang yang tidak dibenarkan dibawa ke sekolah.
Baru-baru ini, tular di Twitter klip video seorang cikgu di sekolah asrama penuh yang melakukan sesi ‘live’ semasa membuat ‘spotcheck’ di asrama pelajar. Lebih melucukan, para netizen turut sama membantu dengan memberitahu beberapa tempat rahsia yang selalu digunakan untuk menyorok barang berharga.
Menerusi video yang dikongsikan itu, cikgu terbabit membacakan satu persatu komen yang diberikan oleh netizen tentang tempat-tempat yang berpotensi mempunyai barang disorokkan pelajar. Malah ada juga yang meminta cikgu terbabit memeriksa di bawah katil yang sering menjadi tempat persembunyian rokok.
Ada juga segelintir netizen yang memberitahu kawasan di celah almari dan tingkap juga antara tempat perlu diperiksa oleh cikgu tersebut. Berdasarkan tinjauan, sesi ‘live’ yang dilakukan oleh cikgu terbabit turut ditonton seramai lebih 3,000 pengguna Tik Tok.
Netizen terhibur
Meninjau di ruangan komen, kebanyakan netizen turut terhibur melihat gelagat masing-masing membocorkan rahsia kepada cikgu terbabit. Dalam masa yang sama, ramai yang berasa lega kerana pada waktu mereka menjadi pelajar dahulu, tiada media sosial seperti yang ada sekarang ini.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.