Mewarna rambut dengan pewarna tertentu selain hitam adalah dibenarkan dalam Islam. Malah, hukum mewarna rambut adalah sunat jika dilakukan dengan warna inai. Baru-baru ini, kecoh mengenai pengacara dan pelakon terkenal, Awal Ashaari mewarnakan rambut selepas pulang dari umrah bersama isterinya, Scha Al-Yahya, Februari lalu.
Susulan itu, rata-rata warganet mengecam Awal serta mempersoalkan isu warna rambut yang dilihat membawa perubahan atau imej yang ‘jahat’ sedangkan baru pulang dari Tanah Suci.
Bagaimanapun, Awal menyatakan dia tetap menjaga hubungannya dengan Allah walaupun dia mewarna rambutnya dan dia membuat rambut itu hanya untuk menggembirakan dirinya.
“Orang kita tidak boleh menerima sesuatu perubahan drastik dan saya cuba faham perkara tersebut serta tidak menidakkan mereka.
Dalam pada itu, pengacara yang berumur 41 itu turut menjelaskan, sebagai anak seni serta pembabitannya dalam industri fesyen, bukan bermaksud pergi umrah terus insaf, tapi dia dapat membawa balik pengalaman selain pengajaran yang berguna.
“Dari segi stail dan penampilan tidak mungkin saya akan berkopiah 24 jam kerana saya masih berminat dalam fesyen. Tambahan pula kerja saya masih berkaitan dengan dunia fesyen.
Sementara itu, dia memaklumkan rambutnya bukan diwarnakan tetapi dia hanya menggunakan sejenis bahan peluntur, namun dia sedar penjelasannya sia-sia kerana orang akan tetap mengecamnya.
Bukan itu sahaja, pelakon filem ‘Impak Maksim’ itu juga berkata, umrah kali ini mengajarnya lebih dekat dengan Tuhan, namun orang tidak nampak perkara sebegitu malah fokus perubahan luarannya sahaja.
“Saya tidak kisah dengan pandangan dan persepsi orang kerana kini saya rasa lebih dekat dengan Allah dan lebih tenang.
Difahamkan, ayah kepada dua orang anak itu menjelaskan perkara tersebut semasa majlis pelancaran kedai kopi miliknya, The Great Coffee Club, terletak di Shah Alam, pada Rabu.
Sekadar info, Awal Ashaari mendirikan rumah tangga bersama pelakon jelita, Scha Al-Yahya pada 4 Mei 2012 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Lara Alana dan Lila Amina.