Tular di media sosial perkongsian video pengalaman mengejutkan seorang pelanggan di sebuah restoran sushi terkenal di Malaysia. Menerusi video yang dimuat naik di platform Tik Tok itu, pelanggan wanita tersebut menunjukkan keadaan botol kicap di restoran itu yang mempunyai ulat di dalamnya.
Menurut wanita itu, dia baru sedar mengenainya selepas dia selesai menjamu selera di restoran tersebut. Turut kelihatan, wanita itu menunjukkan keadaan botol kicap tersebut yang mempunyai beberapa ulat kecil yang masih hidup dan dilihat bergerak.
Difahamkan, wanita itu kemudiannya memaklumkan hal tersebut kepada pekerja di restoran sushi terbabit. Namun dia berasa kecewa kerana reaksi yang diberikan oleh pekerja tersebut yang memandangnya dengan pandangan tidak puas hati seperti kesalahan itu berpunca darinya.
Perkongsian video itu juga telah meraih perhatian ramai di mana rata-ratanya berasa jijik dan loya dengan situasi yang dikongsikan ini. Malah ada juga yang mempertikaikan aspek kebersihan restoran sushi itu sehinggakan ada ulat yang masih hidup di dalam botol kicap tersebut.
Tampil mohon maaf
Susulan kejadian yang berlaku ini, pihak Sushi King telah tampil dengan satu permohonan maaf. Menurut pihak pengurusan Sushi King, mereka memohon maaf kepada pelanggan tersebut di atas pengalaman yang dilaluinya ini semasa menjamu selera di salah sebuah cawangan mereka.
Pihak pengurusan juga memaklumkan telah mengambil tindakan segera dengan menjalankan siasatan dan mengukuhkan lagi SOP pengendalian makanan serta menjalankan pengurusan latihan kepada pekerja mereka.
Difahamkan, kejadian ini juga telah dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihaknya bersedia memberi kerjasama penuh dengan pihak berkuasa untuk tindakan susulan. Dalam masa yang sama, pihak Sushi King memberitahu akan mengambil tanggungjawab penuh di atas insiden ini.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.