Program MeleTOP telah menerima kecaman hebat di media sosial selepas mereka menjemput personaliti media sosial, Ratu Farah Diva membuat persembahan. Susulan kritikan dan kecaman diterima, video persembahan itu telah pun dipadamkan dari akaun media sosial program tersebut.
Malah ramai juga yang mempersoalkan tindakan mereka menjemput Tik Toker itu walaupun dia tidak mempunyai bakat dalam bidang nyanyian. Penyanyi Sharul Kamal turut meluahkan rasa kecewa dan mengakui terkilan apabila stesen televisyen lebih mementingkan rating berbanding karya yang berkualiti.
“Saya ni bekerja keras bertahun-tahun nak buat lagu yang ada kualiti dan kemudian nak lah promo lagu dalam program tv yang ada rating tinggi seperti contoh MeleTOP tapi sayang, selalu dapat jawapan “nanti kami check slot”.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Twitter itu, Sharul memberitahu selama ini dia bekerja keras untuk menghasilkan lagu yang berkualiti dan mahu mempromosikannya di program televisyen. Namun kebiasaannya, jawapan yang diberikan tidak seperti yang diharapkan.
Malah menurutnya, reaksi biasa yang selalu diterimanya ialah mereka akan memeriksa dahulu slot yang sesuai sekiranya ada. Dalam masa yang sama, penyanyi itu juga turut pasrah dan redha apabila kualiti seperti persembahan Tik Toker itu yang ditagihkan oleh stesen televisyen.
“Apakan daya, kualiti macam ni yang ditagihkan.”
Terima sokongan netizen
Perkongsian dari Sharul Kamal ini turut menerima sokongan dari netizen yang bersetuju dengan pendapatnya itu. Rata-rata netizen juga tidak lupa memberikan kata-kata semangat buat penyanyi itu untuk terus menghasilkan karya berkualiti pada masa hadapan.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.