Bijak menghayati setiap wataknya dan versatile, itulah pujian yang sering menghujani pelakon terkenal, Tiz Zaqyah. Dalam pada itu, Tiz atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak merupakan antara pelakon yang selektif kerana dia memastikan setiap watak yang dilakonnya berbaloi dan berkualiti.
Bagaimanapun, dia menjelaskan perkara ini bukan kerana gilakan populariti tetapi penting untuk kepuasannya dalam menghasilkan karya seni yang bermakna buatnya dalam mana-mana naskhah drama mahupun filem.
Menurut laporan, Tiz mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon disebabkan faktor komitmen seperti pertindihan jadual kerjanya. Bahkan, dia mempunyai cara kerjanya sendiri, menerima tawaran sekurang-kurangnya setahun satu drama.
Pelakon ‘Nur Kasih’ itu menegaskan perkara tersebut dilakukan kerana jadualnya terlalu padat sehingga terlepas tawaran hebat seperti filem.
Selain itu, dia turut mendedahkan karakter bernama Lara, kini muncul dalam drama terbaharunya bertajuk, Liar dan ia salah satu watak terberat dan susah pernah dilakonkannya kerana melibatkan unsur rogol.
“Lara memerlukan saya banyak bermain dengan emosi. Apabila berjaya dapat watak ini selepas tiga kali uji bakat, memang tidak menoleh ke belakang lagi dan terus berkata ya.
Tiz menyatakan sukar untuknya melakonkan watak rogol kerana dia perlu menghayati adegan itu serta reaksi apabila dirogol oleh ayah sendiri. Baginya, dia perlu agresif dan mengawal emosi sebaik mungkin menggunakan imaginasinya. Tambahnya, babak dalam bilik mandi menayangkan badannya.
“Bukan sengaja nak tayang badan untuk orang tonton pun sebab paling penting ialah mesej kepada penonton mengenai apa yang dilalui oleh mangsa rogol. Itu yang kami nak sampaikan.
“Kalau ada yang mahu jadikannya isu, biarkan sahaja. Bagi saya, ambil mesej positif manakala yang buruk jadikan teladan.
Pelakon berumur 34 tahun itu mengatakan sekiranya ada adegan keterlaluan, dia akan segera berbincang dengan pengarah dan ada juga beberapa adegan dia menolak. Pihak produksi akan menjaga kelesaannya dan bertolak ansur dengannya kerana mereka sudah cukup arif tentang sensitiviti.
Susulan drama tersebut, Tiz mengakui banyak menonton kembali filem-filem yang mempunyai adegan dirogol agar dia dapat memberikan 100% usaha dan dia juga berterima kasih kepada pengarah dan krew-krew filem yang memberikannya tunjuk ajar. Bahkan, drama ini amat memberi kesan terhadap mentalnya.
“Seperti saya katakan, karakter Lara sangat berat terutama sebagai mangsa rogol, Tuhan sahaja tahu apa yang saya rasa.
“Setiap kali habis penggambaran, rasa tidak sabar hendak tukar baju yang dipakai Lara, lain macam rasa dia.
Untuk makluman, drama Liar ini diadaptasi daripada drama British menggunakan judul yang sama. Selain Tiz, Liar turut dibintangi oleh Tony Eusoff, Ezzaty Abdullah, Datuk Jalaluddin Hassan, Nadiya Nisaa, Wan Raja, Aniq Suhair dan Nazrief Nazri.