Pasangan Syafiq Kyle dan Mimi Lana akhirnya berkongsikan satu berita gembira untuk peminat mereka apabila memaklumkan bakal bernikah tahun ini. Walau bagaimanapun, tarikh pernikahan tersebut tidak dapat dikongsikan buat masa ini namun difahamkan ia akan berlangsung dalam tahun ini juga.
Menurut Syafiq, dia tidak berani berkongsikan tarikh penikahan itu kerana ia juga bergantung pada urusan, komitmen kerja dan sebagainya. Tambahnya lagi, dia dan Mimi sudah pun selesai menghadiri kursus kahwin dan kini sedang melakukan beberapa persiapan untuk majlis perkahwinan mereka.
“Alhamdulillah, satu persatu langkah kita sudah lakukan. ‘Menangis’ banyak juga berhabis, tetapi saya percaya bila kita mahu melakukan perkara baik, Allah SWT luaskan rezeki dan permudahkan urusan kita.”
Apabila ditanya tentang persiapan perkahwinan, Syafiq memberitahu dia tidak dapat berkongsikan lebih terperinci mengenai perkara tersebut. Namun dia memaklumkan semuanya berjalan dengan lancar dan dia bersama Mimi cuba melakukan persiapan sebaik mungkin.
“Apa yang saya lihat, biasalah perempuan akan lebih terperinci soal persiapannya. Dia lebih kepada hal yang cantik-cantik, baju, pemilihan kain dan sebagainya. InsyaAllah, semoga urusan kami dipermudahkan. Mohon doa yang baik-baik.”
Dalam masa yang sama, Syafiq Kyle turut berharap majlis pernikahan mereka ini akan berjalan dengan lancar dan mengharapkan orang ramai dapat mendoakan yang terbaik untuk dia dan Mimi. Sekadar info, pasangan ini mula mendedahkan status hubungan mereka sekitar tahun 2019 selepas beberapa tahun berkenalan.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.