Di Malaysia, pasti semua orang pernah cuba makan di kedai mamak. Anda boleh jumpa kedai mamak hampir di mana sahaja di Malaysia dari gerai-gerai di tepi jalan, di medan selera, atau di restoran. Apa yang paling bagus adalah kedai mamak biasanya dibuka 24 jam sehari, 365 hari setahun – sudah pasti sebab utama bagi rakyat Malaysia suka lepak atau makan di sini!
Antara hidangan yang biasa dan lazat ialah: roti canai, roti telur, nasi kandar, nasi briyani, nasi lemak, maggi goreng, mee goreng, dan sate.
Apa makanan yang paling banyak orang order di kedai mamak?
1. Satay Ayam dengan kuah kacang
Makanan ini biasa dijual di kedai Melayu, tetapi banyak kedai mamak sudah mengambil pekerja atau outsource makanan ini kepada penjual lain untuk dihidangkan kepada pelanggannya. Satu hidangan yang mudah, tetapi memang kegemaran rakyat Malaysia!
2. Roti canai, roti telur, dan roti tisu
Tipu la kalau pergi kedai mamak tak makan makanan-makanan ni! Roti canai adalah roti yang berlapis-lapis, rapuh, dan lazat yang lazimnya disajikan dengan kuah kari atau dhal. Roti telur adalah roti canai yang telah diisi dengan telur goreng, manakala roti tisu adalah versi roti yang sangat nipis, dan dimasak bersama mentega serta manis amat!
3. Mee goreng mamak
Selalunya pedas, mi goreng mamak memang kegemaran rakyat Malaysia! Ia biasanya disajikan dengan telur dan daging atau ayam.
4. Teh tarik, jus tembikai dan minuman lain
Teh tarik adalah minuman yang sangat digemari oleh rakyat Malaysia, terutamanya apabila makan di kedai mamak. Tetapi, pada hari yang lebih panas, biasanya orang akan menikmati bermacam teh ais atau jus tembikai. Anda boleh order air tanpa ais, atau kurang ais sekalipun, tapi jangan anggap semua pekerja kedai mamak ini faham arahan anda!
Amacam, lapar tak? Jom makan di kedai mamak!