Di Malaysia memang cukup kaya dengan kepelbagaian budaya dan makanan. Orang kata Malaysia dan makanan tidak dapat dipisahkan. Tidak cukup dengan berbagai makanan dari masyarakatnya, juadah dan konsep restoran luar turut dibawa masuk dan diperkenalkan. Contohnya Nagashi-Somen, cara makan mi di Jepun yang kini sudah pun boleh dinikmati di Malaysia.
Air Mengalir Ala Nagashi-Somen
Nagashi-Somen adalah satu kaedah makan mi yang berasal dari negara Jepun. Caranya adalah mi dihidangkan melalui laluan air di dalam buluh dan pelanggan harus ‘menangkapnya’ menggunakan chopstick.
Buat yang gemar menonton drama animasi Jepun atau filem dari negara itu pasti pernah melihat babak makan Nagashi-Somen menerusinya. Kaedah makanannya cukup santai dan unik!
Nikmati Nagashi-Somen di Kuala Lumpur
Baru-baru ini, Wan Muaaz bin Wan Zulkifli yang sempat mengunjungi restoran unik yang menyediakan makanan ala Nagashi-Somen berkongsikan pengalamannya. Bukan di luar negara, tapi hanya di Kuala Lumpur sahaja!
Menurut pelajar tahun akhir diploma dalam jurusan Fisioterapi ini, dia mengetahui mengenai restoran bernama Samira by Asian Terrace itu melalui iklan di media sosial, Instagram. Iklan itu mendakwa ia adalah restoran pertama seumpamanya di Malaysia.
“Saya yang menggelarkan diri sebagai ‘food hunter’ pun terus berminat untuk mencubanya sendiri. Tambahan pula saya pernah menonton satu paparan video mengenai makanan ini di YouTube pada dua atau tiga tahun lalu,” ujar pemuda berasal dari Ampang ini.
Konsep menarik dan unik
Tambahnya lagi dia tertarik untuk mencuba makan di restoran ini kerana ia suatu konsep yang amat menarik dan unik. Disamping itu juga dapat mempelajari budaya pemakanan dari Jepun.
Berkongsikan pengalamannya menikmati juadah tersebut, Wan Muaaz berkata walaupun restoran ini terletak di bandar Kuala Lumpur namun kerana lokasi agak dalam dan terpencil membuatkan suasananya sungguh tenang.
“Rasa seperti berada di suatu perkampungan yang tenang dan damai dengan pemandangan yang dipenuhi kehijauan. Saya amat tertarik dengan konsep asal kawasan di restoran ini dimana mereka ambil inspirasi konsep Thailand tetapi pada masa yang sama juga mempunyai sedikit elemen Jepun dengan adanya ‘Somen Hut’ dan pokok buluh di pintu utamanya,” ujarnya lagi.
Berikut adalah video yang dikongsikannya ketika menikmati juadah ini:
Pengalaman yang tak terucap!
Bercerita mengenai rasa makanan tersebut ia terletak di tangga kedua. Ini kerana baginya pengalaman mencuba sesuatu yang baru sesuatu yang cukup berharga dalam kehidupan. Dari 10 bintang dia memberikan 5 bintang dan 10/10 bintang untuk pengalaman dan layanan dari pihak restoran itu.