Bekas isteri kepada vokalis kumpulan OAG, Nur Shaira Ayu Zahiri mendedahkan tentang insiden pergaduhan yang berlaku di antara dia dan penyanyi itu pada April tahun lalu. Menurut wanita itu, Radhi telah menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya sebelum pergaduhan itu berlaku.
Difahamkan, kejadian itu berlaku di parkir sebuah kondominium semasa dia ke rumah Radhi untuk mengambil anak lelaki mereka. Shaira yang ditemani kakak, anak perempuan dan tiga anak buah kemudiannya turun ke lobi sebelum diminta Radhi untuk berhenti di tepi kereta bagi membincangkan tentang hal anak.
“Radhi kemudian mengajak saya untuk ‘selfie’ dalam kereta menggunakan telefon, saya cakap tak mahu ambil gambar macam tu, tak perlu nak peluk kerana sudah bercerai.”
Wanita itu turut memberitahu Radhi sekiranya mahu bergambar, mereka boleh mengambilnya di luar kereta sahaja. Bermula dari situ, penyanyi kumpulan OAG ini kemudiannya marah dan menjerit di hadapan muka bekas isterinya itu sambil mengeluarkan kata-kata kesat.
“Kau ingat kau bagus, kau ingat kau cantik.”
Jelas Shaira lagi, bekas suaminya itu memaki hamunnya dengan mengatakan ‘kau ingat kau bagus, kau ingat kau cantik’ hanya kerana dia enggan mengambil gambar bersama. Difahamkan, selepas itu berlakunya insiden tolak menolak dan pergaduhan sebelum kakaknya datang meleraikan situasi yang tegang itu.
Susulan kejadian yang berlaku ini, Shaira telah membuat laporan polis pada hari yang sama selain mengesahkan terdapat kesan lebam pada tangannya akibat insiden tersebut. Dalam masa yang sama, dia mengakui ada memukul bekas suaminya itu untuk mempertahankan diri semasa pergelutan berlaku.
Sekadar info, Radhi dan Shaira mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Muhammad dan Nur Aisyah yang kini berusia enam dan tujuh tahun. Sebelum itu, Radhi pernah berkahwin dengan Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 namun berpisah pada 8 Jun 2010.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.