Sesi berdamai bersama Jawatankuasa Pendamai (JKP) telah berlangsung pagi tadi untuk pasangan Farid Kamil dan Diana Danielle. Terdahulu, Diana memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya namun Farid dilaporkan enggan melafazkan talak cerai.
Pelakon lelaki itu dilihat tiba di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari bersama sejambak bunga dan sebentuk cincin buat isterinya. Namun difahamkan, Diana tidak menerima hadiah tanda untuk berdamai yang dibawa oleh pengarah filem ini.
Terbaru, Farid mendedahkan terdapat orang ketiga di dalam hubungan mereka sebaik sahaja selesai sesi bersama JKP. Ujarnya, dia mendapat tahu mengenai perkara itu sejak tahun lalu namun hanya baru-baru ini dapat mengesahkan tentang perkara itu.
“Hari ini saya dapati, kekuatan beliau (Diana) kerana seperti yang saya maklum bahawa ada pihak ketiga yang menyokongnya dari belakang.”
Reaksi Diana Danielle
Susulan kenyataan yang dikeluarkan Farid ini, pihak media kemudiannya mendapatkan Diana untuk mengesahkan mengenai isu tersebut. Menurut Diana, itu merupakan satu fitnah yang dikeluarkan oleh Farid dan dia turut menempelak tindakan suaminya membawa hadiah cincin buatnya.
“Itu fitnah. Bayangkan cincin yang dia nak bagi tadi tu, dia dah hilangkan selama lapan tahun. Baru hari ni dia nak belikan balik cincin perkahwinan kami selepas lapan tahun. Kalau betul saya ada orang ketiga, kenapa dia nak belikan cincin kahwin?”
Terdahulu, Farid memberitahu dia mahu menyelamatkan rumah tangganya itu selain memaklumkan sudah 21 hari tidak berjumpa dengan anak-anaknya. Manakala Diana sempat memberitahu pihak media bahawa anak perempuannya, Aurora trauma semasa ditanyakan mengenai Farid yang sudah lama tidak berjumpa dengan mereka.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.