Ramai yang terkejut dengan berita pasangan Farid Kamil dan Diana Danielle apabila pelakon wanita itu memfailkan cerai terhadap suaminya. Namun Farid dilaporkan enggan melafazkan cerai dan pasangan itu kini diminta untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Difahamkan, Farid Kamil melakukan pelbagai usaha untuk memujuk isterinya itu supaya tidak meneruskan permohonan cerai tersebut. Terbaru, hasrat pelakon itu untuk membawa anak-anaknya menaiki kenderaan baru dibeli untuk kegunaan keluarga tidak kesampaian.
Menurut pengurus Farid Kamil iaitu Azhari Hamid, pelakon itu cuba membawa anak-anaknya keluar untuk menaiki kereta yang baru dibelinya itu. Namun ada pihak yang menghubungi pihak polis peronda untuk menghalang pelakon itu dari berjumpa dengan anak-anaknya.
“Walaupun diminta keluar dari kediaman mereka sejak 3 Mac lalu selain tidak dapat berjumpa anak-anaknya sepanjang tempoh itu, Farid tetap menaruh harapan terhadap perkahwinan mereka.”
Tambahnya, Farid tidak menyangka dia dihalang daripada berjumpa dengan kedua-dua anaknya sedangkan kes yang dibawa ke mahkamah hanya membabitkan permohonan perceraian. Walau bagaimanapun, pelakon itu akur dengan keputusan mahkamah yang meminta dia dan isteri melalui proses JKP.
“Cuma apabila tidak dibenarkan membawa keluar Muhammad dan Nur Aurora, serta secara tiba-tiba muncul pula kereta peronda polis di pos pengawal rumah mereka, dia terkejut dan sedih. Saya tahu Farid menangis sebab matanya sembab.”
Dalam masa yang sama, pengurusnya memberitahu Farid tidak dibenarkan masuk ke rumah semenjak 3 Mac lalu selepas dia selesai menjalani penggambaran. Difahamkan, sebelum ini memang wujud perselisihan kecil di antara pasangan itu namun Farid tidak menyangka hal tersebut akan membawa kepada permohonan cerai dari isterinya.
Terdahulu, Diana Danielle memfailkan permohonan cerai terhadap Farid Kamil pada awal bulan lalu. Permohonan cerai itu dibuat dengan alasan tiada persefahaman di antara dia dan suami serta terdapat perbalahan berpanjangan dalam hubungan mereka.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.