Macam yang semua sedia tahu, pelawak Shuib kini sedang menjalinkan hubungan istimewa bersama seorang usahawan dikenali sebagai Watie. Malah mereka juga tidak lagi berselindung tentang hubungan tersebut dan semakin aktif meninggalkan komen di akaun Instagram masing-masing.
Baru-baru ini juga, ibu kepada Shuib telah memuat naik gambarnya bersama Watie di Instagram semasa dia mahu berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah umrah. Menerusi gambar yang dimuat naik ini, ibu Shuib bergambar bersama Watie yang turut mendukung anak bongsu pelawak itu, Ayash Affan.
Berdasarkan kapsyen di hantaran itu, difahamkan Watie menghantar ibu Shuib ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur bersama ahli keluarga yang lain. Lebih menarik perhatian ramai, ibu pelawak itu memanggil Watie dengan panggilan manja sekaligus menunjukkan hubungan akrab di antara mereka berdua.
Malah Watie juga turut memanggil ibu Shuib dengan panggilan Mama dan mendoakan perjalanan umrahnya dipermudahkan. Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen turut berasa teruja melihat interaksi di antara kedua-dua mereka ini.
Ini kerana sebelum ini ianya tidak dikongsikan kepada umum dan hanya baru-baru ini sahaja hubungan Shuib dan Watie semakin didedahkan di media sosial. Dalam masa yang sama, netizen turut tumpang bahagia apabila anak bongsu pelawak itu kelihatan begitu mesra dan manja dengan wanita tersebut.
“Ayash dah jumpa mama baru.”
“Alhamdulillah nampak keserasiannya.”
Terdahulu, Shuib memaklumkan dia sudah bersedia untuk membawa hubungannya bersama Watie ke fasa yang seterusnya. Walau bagaimanapun, masih tiada sebarang tarikh yang dikongsikan buat masa ini namun pelawak itu memberitahu dia akan memaklumkan kepada semua sekiranya sudah mempunyai perancangan.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.