Pelakon Adam Shahz dan bekas isterinya, Fatin Afeefa hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini bagi urusan hak penjagaan anak mereka, Ivy Herra Sophia. Namun difahamkan, kedua-dua mereka gagal mencapai kata sepakat buat masa ini.
Proses Sulh itu kemudiannya akan disambung pada 28 Febuari ini sebagai sebutan semula hak penjagaan anak mereka di hadapan hakim. Walau bagaimanapun, Adam memberitahu dia tetap akan cuba mendapatkan haknya sebagai bapa kandung supaya hubungan mereka tidak terputus.
Tambahnya, jika dia tidak mendapat hak penjagaan seperti yang diminta, sekurang-kurangnya dia berharap akan diberikan hak lawatan untuk bertemu dengan anak perempuannya ini. Pelakon itu turut memberitahu dia sebenarnya sudah tiga bulan tidak berjumpa dengan anaknya yang kini berusia lapan tahun itu.
Nombor telefon disekat
Malah cubaannya untuk menghubungi anaknya itu juga gagal selepas nombor telefonnya disekat oleh keluarga bekas mentua. Kata Adam, dia sendiri tidak tahu di manakah keberadaan anaknya itu buat masa sekarang ini.
“Saya sendiri tak tahu anak saya dekat mana sekarang. Sebab Fatin, mak mertua dan pihak sebelah sana sudah block, jadi saya tak boleh nak berhubung. Apa yang saya dapat tahu, ada orang sampaikan yang anak saya sekarang dihantar ke sekolah asrama.”
Dalam masa yang sama, cubaan media untuk mendapatkan kenyataan dari Fatin Afeefa selaku bekas isteri tidak berjaya apabila pelakon wanita itu enggan mengeluarkan sebarang kenyataan. Sekadar info, Adam dan Fatin mendirikan rumah tangga pada 21 Disember 2013 namun bercerai empat tahun kemudiannya.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.