Anugerah Juara Lagu ke-37 semalam menyaksikan penyanyi Aina Abdul berjaya merangkul gelaran juara dengan lagu nyanyian dan ciptaannya, Terus Hidup. Ketua Juri AJL37, Datuk Mokhzani Ismail tidak menafikan jurang sengit di antara juara dan naib juara yang dinobatkan semalam.
Menurutnya, Terus Hidup bersaing rapat dengan Satu Malam Di Temasek nyanyian Joe Flizzow dan Sonaone namun apa yang memisahkan mereka sebagai juara dan naib juara adalah menerusi persembahan vokal. Malah perbezaan markah di antara mereka juga begitu sengit dengan jurang dua markah sahaja.
“Malam ini kita dapat lihat dua lagu yang sangat dekat beza markah mereka iaitu Terus Hidup dan Satu Malam Di Temasek. Apabila permarkahan dibuat menerusi melodi, ia ada pada Terus Hidup, manakala kreativiti pula ada pada Satu Malam Di Temasek.”
Tambahnya, kedua-dua lagu mempunyai kekuatan dari segi lirik dan vokal. Namun pihak juri melihat kekuatan vokal dalam dua medium iaitu menerusi persembahan vokal pada album dan vokal semasa persembahan di pentas AJL37 semalam.
“Tatkala Aina dinobatkan sebagai Vokal Terbaik, ia adalah antara faktor yang mengangkat ia menjadi juara dengan kelebihan sebanyak dua markah.”
Mokhzani berkata susunan lagu Terus Hidup untuk AJL37 yang dijayakan oleh Jenny Chin sebenarnya ‘berbahaya’ dan mampu menjerat Aina namun penyanyi itu berjaya membawakan lagu itu dengan begitu baik sekali semalam. Jelasnya lagi, bahagian ‘sukar’ itu disampaikan dengan baik oleh Aina sekaligus juri sebulat suara memilih penyanyi itu sebagai juara AJL37.
Selain itu, Mokhzani mendedahkan antara lagu lain yang turut mendapat markah paling hampir adalah Korban nyanyian Ernie Zakri dan Kembali Terang nyanyian Marsha Milan di mana masing-masing berada di tempat yang keempat.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.