Buat peminat haiwan yang cukup manja, kucing pastinya pernah dengar dengan nama Pulau Kucing di Jepun bukan? Bukan satu pulau kucing yang ada di Jepun ini, malah ada 11 kesemuanya. Namun begitu, kini di Malaysia juga ada pulau khas sebegini iaitu pulau kucing di Pahang.
Baru-baru ini tular di media sosial dengan satu perkongsian dari seorang pengguna Twitter dengan akaun bernama JatIkhwan mengenai pulau kucing yang dikunjunginya.
Perkongsiannya itu telah meraih lebih 24,300 retweets dan 23,500 likes dari netizen. Menerusi tulisan lelaki ini, lokasi pulau kucing di Pahang itu terletak berhampiran dengan Pusat Tenun, Pekan. Kini ia menempatkan lebih 100 ekor kucing jalanan di sana.
Berdasarkan pada foto yang dikongsikannya, pulau itu nampak tenang dengan beberapa pondok khas dijadikan tempat berteduh kucing-kucing yang berada di situ.
Menerusi tulisannya lagi, pulau tersebut pada asalnya diasaskan oleh seorang lelaki penduduk asal Pekan. Namun kini ia diselia dan dijaga oleh beberapa sukarelawan dari Perancis.
Selain itu, haiwan lain turut ditempatkan di pulau ini seperti kambing, itik dan monyet.
Berikut adalah beberapa foto yang dikongsikan oleh individu ini:
Buat mereka yang suka bermain dengan kucing bolehlah mengunjungi tempat ini dengan bayaran masuk RM3 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak. Tambahnya lagi, amat digalakkan buat pengunjung untuk membayar lebih sebagai sumbangan untuk menampung kos penjagaan dan makanan haiwan di sini.