Umum diketahui, Lan Solo atau nama sebenarnya Muhammad Razlan bin Mohamed Yusuf bukan hanya dikenali ramai sebagai seorang penyanyi malah dia juga semakin berjaya dikenali dalam dunia perniagaan yang mana dia menjual produk makanan dan minuman daripada Sabah dan Sarawak.
Rezeki Lan Solo yang membuka kedai runcit miliknya dan diusahakan bersama isteri, Nur Shiela Hassim yang diberi nama Solo Borneo Mart semakin mencurah-curah. Perniagaannya itu membuahkan hasil yang tidak disangka-sangka buat pasangan berkenaan.
Malah umum diketahui, pasangan ini terdahulu juga berkerja keras dalam membina rumah baru mereka yang pernah viral selepas dikongsikan perkembangannya. Ternyata berkat kesabaran Lan Solo dan isteri serta keluarga dapat memiliki sebuah rumah banglo mewah.
Rumah mewah Lan Solo jadi tumpuan
Mengundang rasa teruja ramai juga apabila satu perkongsian video memaparkan setiap sudut ruangan rumah mewah milik penyanyi dan usahawan ini yang kelihatan begitu menarik sehinggakan ribuan warganet yang ‘hadir’ menonton rumahnya ini.
Menjengah pula ke ruangan komen, ramai menghujani dengan pelbagai reaksi teruja dan memberikan pujian terhadap kejayaan penyanyi tersebut selain akui bahawa konsep rumah dipilih mereka juga begitu cantik.
Difahamkan, Lan Solo mengambil masa lima tahun untuk membinanya dan dalam pada itu, disebelah rumah banglo itu juga terdapat sebuah rumah kecil yang pernah didiami mereka.