Pengarah filem, Syamsul Yusof dilaporkan enggan menceraikan isterinya Puteri Sarah ketika prosiding sebutan kes di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan awal pagi tadi. Susulan keputusannya ini, mahkamah telah memerintahkan kedua-dua pihak melantik Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) dalam permohonan cerai itu.
Puteri Sarah ketika ditemubual pihak media meluahkan rasa terkejut dengan keputusan yang dilakukan oleh Syamsul Yusof ini. Malah dia juga tidak menyangka pengarah filem itu enggan menceraikannya apatah lagi mereka sudah lebih setahun tidak bersemuka.
“Dia tak nak lepaskan Sarah sebab dia rasa boleh berdamai lagi dan dia kata masih ada sinar. Sedangkan Sarah masuk hospital haritu pun, tak jenguk tak tanya khabar.”
Ibu kepada dua cahaya mata ini juga tidak tahu apa yang menyebabkan Syamsul mengambil keputusan begitu. Dalam masa yang sama, dia turut berharap suaminya itu dapat melepaskannya pergi dan mengakhiri hubungan rumah tangga mereka dengan cara yang baik.
Kemuka bukti dipukul
Susulan keputusan dari Syamsul ini, Puteri Sarah terpaksa mengemukakan bukti baru kepada mahkamah dengan mendakwa dirinya pernah dipukul oleh suaminya. Puteri Sarah memberitahu dia tidak membuat sebarang laporan polis selepas kejadian kerana masih ada rasa cinta kepada suaminya itu pada waktu tersebut.
Menurut peguam syarie yang mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kader, dia berkata insiden dipukul itu merupakan salah satu fakta anak guamnya keluar rumah.
“Itu (dipukul) antara fakta mengapa Sarah membuat keputusan keluar rumah. Kami kemukakan fakta ini selepas Syamsul menuduh anak guam saya bertindak keluar dari rumah (nusyuz).”
Pelakon wanita itu turut mengatakan pada ketika itu ibu mentuanya, Datin Patimah yang menyelamatkannya dengan membawanya keluar dari rumah tersebut. Malah Puteri Sarah memberitahu Syamsul sendiri tahu mengapa dia mengambil keputusan untuk keluar dari rumah pada ketika itu.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.