Ibu kepada pengarah filem Syamsul Yusof sering kali memuat naik hantaran di Instagram menunjukkan sokongan terhadap menantunya, Puteri Sarah. Malah sejak kemelut rumah tangga pasangan itu didedahkan, Datin Patimah tidak henti-henti memberikan semangat buat menantunya itu.
Sehinggakan dia sendiri menawarkan diri untuk menjadi pencelah dan saksi untuk Puteri Sarah di dalam kes melibatkan rumah tangganya. Datuk Yusof Haslam baru-baru ini menjelaskan punca isterinya sering kali memuat naik hantaran mengenai anak dan menantunya di media sosial.
Menurutnya, Datin Patimah sebenarnya hanya mahukan Syamsul pulang ke pangkuan keluarga dan menjernihkan keadaan yang kini tegang. Sebagai seorang bapa juga, Yusof Haslam berharap akan ada jalan penyelesaian yang terbaik buat Syamsul dan Puteri Sarah.
“Dia seorang ibu, dia rindukan kasih sayang anak dia dan berharap anak dia balik berjumpa, harmonikan benda-benda yang kusut.”
Tambahnya lagi, dia sendiri mengharapkan Syamsul akan pulang dan berjumpa dengan isteri dan anak-anaknya kerana tidak mahu isu ini berlarutan lebih lama. Dalam masa yang sama, penerbit itu memberitahu dia sayang kepada anak dan menantunya serta hanya mahukan kedamaian buat masa ini.
“Sebagai ayah terus terang saya mendoakan Syamsul yang terbaik dan mencari jalan terbaik untuk Syamsul jernihkan keadaan dengan isteri dan ibu dia. Saya tiada menyimpan dendam ke apa saya tahu anak muda ada konflik dan jiwa muda dia.”
Terdahulu, Syamsul Yusof mendedahkan di Instagram pada awal Januari lalu mengatakan dia sudah bernikah dengan Ira Kazar di sempadan Thailand. Susulan pengakuan dari pengarah filem ini, Puteri Sarah memfailkan tuntutan cerai terhadap suaminya itu.
Walau bagaimanapun, Syamsul enggan melafazkan talak cerai semasa sebutan pertama kes mereka di mahkamah di mana dia menganggap masih ada sinar baru dalam hubungan mereka. Puteri Sarah kemudian mengemukakan bukti baru dan mendedahkan pernah dipukul oleh Syamsul sebelum ini.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.