Ibu kepada pengarah filem Syamsul Yusof iaitu Datin Patimah memuat naik satu perkongsian yang mencuri perhatian di Instagram Story. Di dalam hantaran itu, Datin berkongsikan gambar dua cucunya iaitu Syaikhul Islam dan Sumayyah yang merupakan anak kepada pasangan Syamsul Yusof dan Puteri Sarah.
Kelihatan di dalam gambar itu, Syaikhul memeluk adik perempuannya itu sambil mencium kepalanya. Apa yang menarik perhatian, Datin Patimah turut memuat naik kapsyen di mana dia memuji keperibadian Syaikhul yang cukup pandai menjaga adik perempuannya itu walaupun baru berusia enam tahun.
“Syaikhul seorang abang yang menjaga adiknya Sumayyah dengan baik kerana tahu, hanya dia sahaja lelaki dalam hidup adiknya.”
Tambahnya, Syaikhul menjaga adiknya dengan begitu baik sekali sepanjang mereka menempuh kehidupan bersama. Difahamkan, hari ini merupakan ulang tahun kelahiran Sumayyah yang keempat tahun seperti yang dikongsikan oleh Puteri Sarah di akaun Instagramnya.
“Happy 4th birthday my baby love Sumayyah. Mama loves you so much. Walau apa yang terjadi, i will be by your side until the end.”
Terdahulu, Datin Patimah menawarkan diri untuk menjadi pencelah dan saksi bagi pihak Puteri Sarah dalam krisis rumah tangganya bersama Syamsul Yusof. Menurut pelakon wanita itu, ibu mentuanya adalah individu yang membantunya keluar dari rumah selepas kejadian dia dipukul oleh suaminya.
Sekadar info, Puteri Sarah dan Syamsul Yusof mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam dan Sumayyah. Kemelut rumah tangga pasangan ini masih belum berakhir apabila pengarah filem itu enggan melafazkan talak cerai semasa sebutan pertama kes cerai mereka sebelum ini.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.