Pelakon Hafidz Roshdi dan bekas isterinya, Shuhada menjadi antara topik bualan hangat di media sosial pada ketika ini. Tidak terkecuali, wanita dikenali sebagai Athira Yuhada yang dikatakan sebagai orang ketiga atau ‘penyondol’ dalam rumah tangga pasangan tersebut.
Keretakan rumah tangga mereka mula diperkatakan apabila timbul khabar angin mengenai seorang pelakon lelaki yang dikatakan curang dengan isterinya. Namun Hafidz Roshdi menafikan dia adalah pelakon yang dimaksudkan ramai dan mengatakan hubungannya dan isteri dalam keadaan yang baik.
Tidak lama kemudian, Shuhada akhirnya tampil membuat pengakuan mengenai orang ketiga yang muncul di dalam rumah tangga mereka. Susulan pendedahan itu, Athira Yuhada akhirnya membuat permohonan maaf kepada Shuhada dan dua anaknya serta menyesali perbuatannya itu.
Perkongsian terbaru Athira
Baru-baru ini pula, perkongsian yang dimuat naik oleh Athira di akaun Facebook miliknya telah mencuri tumpuan ramai apabila dia berkongsikan tentang ‘attention seeker’ atau seseorang yang mencari perhatian. Walaupun tidak ada memetik nama sesiapa dalam hantaran itu, ramai yang mendakwa ia ditujukan kepada pihak di sebelah sana.
“Belajarlah menjaga perasaan orang lain, jangan menyakiti. Kerana seberapa banyak kamu sujud pun, jika yang disakiti enggan memaafkan. Maka Allah pun enggan.”
Berdasarkan tinjauan di akaun Facebook tersebut, Athira dilihat masih lagi aktif memuat naik perkongsian namun mengehadkan ruangan komen. Mungkin juga kerana hantaran-hantaran yang dimuat naik sebelum ini telah menerima kecaman netizen yang menggelarnya sebagai ‘penyondol’.
Terdahulu, Shuhada yang telah diceraikan oleh Hafidz Roshdi mendedahkan dia telah ditumbuk oleh pelakon itu sehingga meninggalkan parut kekal di wajahnya. Susulan kejadian itu, pelakon lelaki tersebut telah ditahan dan kemudian dilepaskan dengan jaminan polis selepas memberikan keterangan.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.