Bekas isteri pelakon Hafidz Roshdi telah ditemu bual oleh program Melodi susulan isu hangat yang berlaku di antara mereka. Shuhada juga turut berkongsikan kesakitan yang dialaminya selepas ditumbuk sebanyak tiga kali oleh bekas suaminya itu yang turut meninggalkan parut pada wajahnya.
Shuhada juga mendedahkan kesakitan jahitan yang diterima pada wajahnya yang dianggap lebih sakit dari jahitan selepas melahirkan anak. Wanita itu turut ditanyakan sama ada bekas suaminya itu ada memohon maaf selepas melihat wajahnya yang berlumuran darah gara-gara ditumbuk.
“Saya sudah serah segala bukti-bukti kepada pihak polis untuk jalankan siasatan. Kalau betul pihak ketiga tidak bersalah, dia tidak perlu takut. Saya memang di pihak yang benar.”
Namun Shuhada enggan menjelaskan lebih lanjut sebaliknya memberitahu sudah menyerahkan segala urusan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Dalam masa yang sama, Shuhada juga sempat memberikan ucapan kepada bekas suaminya sekiranya benar tentang dakwaan dia sudah berkahwin dengan orang ketiga.
“Kalau betul Hafidz dan Athira berkahwin saya mengucapkan selamat pengantin baru. Hiduplah bahagia, tenang, dirahmati Allah.”
Terdahulu, Shuhada memuat naik gambar wajahnya yang berlumuran darah dan mengalami kecederaan yang serius di akaun Instagram. Tidak lama selepas itu, ahli keluarga wanita itu mengesahkan Shuhada telah ditumbuk oleh Hafidz Roshdi selepas berlakunya pertengkaran di antara mereka.
Difahamkan, pelakon itu telah pun ditahan oleh pihak polis dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil. Pihak polis juga akan mendapatkan perintah mahkamah sementara untuk menghalang pelakon berkenaan mendekati mangsa sementara siasatan dijalankan.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.