Hari ini pasangan selebriti Farid Kamil dan Diana Danielle hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam bagi proses lantikan Wakil Jawatankuasa (JKP) bagi menyelesaikan isu yang timbul dalam rumah tangga mereka.
Kehadiran Farid Kamil bagaimanapun mendapat perhatian umum apabila pelakon dan pengarah itu dilihat tampil dengan sejambak bunga dan sebentuk cincin untuk memujuk isterinya, Diana Danielle.
Bagaimanapun, Diana Danielle mendedahkan hadiah itu adalah untuk menggantikan cincin perkahwinan mereka yang dihilangkan Farid Kamil lapan tahun lalu. Malah Diana Danielle turut persoalkan mengenai perkara tersebut.
“Bayangkan cincin yang dia nak bagi tadi sudah dia hilangkan selama lapan tahun, tapi baru hari ini dia nak beri semula cincin perkahwinan kami selepas lapan tahun,” kata Diana Danielle.
Selain dari itu, Diana turut menegaskan kehadiran bapa kepada anak-anaknya itu dengan membawa sejambak bunga dan cincin itu bukan untuk menyelamatkan perkahwinan mereka. Tetapi mahu menjaga maruah Farid. Diana juga akui masih tetap dengan keputusan untuk bercerai.
“Ya saya masih dengan keputusan untuk bercerai. Dia bukan cuba nak menyelamatkan rumah tangga (dengan hadiahkan bunga dan cincin), tapi nak menyelamatkan air muka dia saja”, jelas Diana.
Sempat juga wartawan yang hadir bertanyakan antara sebab mengapa Farid Kamil tidak dibenarkan bertemu anak-anaknya. Jawapan ringkas Diana Danielle beritahu sebab perkara tersebut ialah anak keduanya, Aurora trauma.
“Aurora trauma”, begitulah jawapan ringkas dari Diana Danielle beritahu sebab mengapa Farid Kamil tak dapat bertemu anak-anaknya.
Ditanyakan sebab tentang perkara itu, Diana Danielle memilih enggan untuk mengulas lanjut. Selain dari itu, Diana Danielle turut menepis dakwaan hubungan suami isteri mereka itu goyah disebabkan orang ketiga.
“Itu semua fitnah! Masalah timbul sebab kesalahan dia 100%”, ujar Diana Danielle.
Untuk rekod, sebelum ini berita mengenai Diana Danielle memfailkan cerai terhadap Farid Kamil di mahkamah telah mengejutkan ramai. Pasangan ini dan anak-anaknya baru sahaja selesai mengerjakan umrah pada Februari lalu dan terlihat bahagia seperti biasa.