Setiap pelakon pastinya mempunyai cara mereka yang tersendiri dalam menjayakan watak yang dilakonkan. Sebagai pelakon juga, sangat penting untuk mereka menjiwai watak yang dibawa supaya tidak digelar ‘kayu’ di mata penonton.
Baru-baru ini pula, babak mesra yang dilakonkan oleh pelakon Amar Baharin dan Anna Jobling di dalam sebuah drama menjadi bualan netizen. Menerusi klip promo drama berjudul Terima Kasih Cinta, kelihatan babak gurauan suami isteri yang dilakonkan dua pelakon ini.
Di dalam babak tersebut, Amar dilihat bergurau dengan Anna yang merupakan isterinya di dalam drama terbabit. Tidak lama kemudian, Anna menggigit lengan pelakon lelaki itu dalam usaha untuk melarikan diri dari situasi romantis itu.
Perkongsian video itu telah mencetuskan rasa kurang senang netizen yang menganggap babak tersebut tidak sepatutnya ada di dalam drama itu. Dalam masa yang sama, netizen turut membandingkan Amar Baharin dan isterinya iaitu Amyra Rosli yang dilihat lebih menjaga batas semasa berlakon.
Tambah netizen, Amyra Rosli sangat jarang dilihat bersentuhan dengan pelakon lelaki lain berbanding suaminya sendiri yang tidak menjaga batas tersebut. Malah ada juga yang mempersoalkan mengapa Amar tidak melakukan perkara yang sama seperti isterinya.
“Isteri elak adegan bersentuhan. Tapi kenapa suami tak buat perkara yang sama?”
“Soalan serious, Amyra Rosli tak rasa apa apa ke eh?”
Dalam masa yang sama, netizen turut menegur babak ‘mesra’ yang ditayangkan di dalam drama ini kerana ianya tidak sesuai ditonton oleh golongan yang lebih muda seperti golongan remaja. Tambahan pula, drama tersebut ditayangkan pada pukul 7 malam yang biasanya menjadi waktu tontonan seisi keluarga.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.