Baru-baru ini, penyanyi Sissy Iman menjadi perhatian ramai gara-gara menangis selepas menerima komen dan teguran dari Mas Idayu selaku juri di dalam program Famili Duo. Pernah mengalami situasi yang sama seperti Sissy, Baby Shima berkongsikan pendapatnya mengenai sikap tegas penyanyi dangdut itu.
Menurutnya, teguran yang diberikan oleh Mas Idayu itu adalah satu bentuk teguran biasa dan tidak keterlaluan. Malah teguran yang pernah diterimanya sebelum ini telah membuatkan Baby Shima lebih bersemangat untuk bangkit memperbaiki mutu nyanyiannya semasa dia menyertai sebuah program nyanyian di Indonesia.
“Semasa dimarahi mummy (Mas Idayu) dahulu saya diam saja dan terima semua komen tersebut sebab tahu saya buat salah. Bagi saya, ia teguran membina dan kita harus belajar dari kesilapan. Kritikan mummy pedas dan berisi.”
Baginya, ia adalah satu teguran yang membina dan membuatkan dia belajar dari kesilapan yang dilakukan. Tambahnya lagi, setiap orang mempunyai cara yang tersendiri dalam memberi teguran dan begitu juga dengan Mas Idayu yang terkenal dengan komen ‘pedas’ semasa menjadi juri.
Juri yang jujur dan tak ‘fake’
Dalam masa yang sama, Baby Shima berpendapat Mas Idayu adalah seorang juri yang jujur dan berterus terang semasa memberikan komen sebagai juri. Jelasnya, jika tiada komen-komen ‘pedas’ begitu, mungkin para peserta tidak tahu kesalahan yang dilakukan mereka dan tidak sedar apa yang perlu diperbaiki untuk minggu seterusnya.
“Mummy antara juri program yang paling bagus sebab dia tak fake tentang persembahan. Berbanding artis lain yang lebih memuji sedangkan tahu persembahan itu teruk.”
Pernah melalui situasi yang sama, Baby Shima menganggap teguran ‘pedas’ yang diberikan oleh Mas Idayu itu telah membantu melonjakkan namanya dan membuatkan dia lebih dikenali di negara jiran. Tambahnya, teguran itu telah membuka jalan untuknya mengembangkan bakatnya di Malaysia dan Indonesia.
Pada tahun 2017, Mas Idayu pernah memberikan komen ‘pedas’ kepada Baby Shima yang merupakan peserta di dalam program D’Academy Asia yang bersiaran di stesen televisyen Indonesia. Malah kata-kata Mas Idayu ‘ada nampak mummy happy’ itu juga menjadi tular di seluruh negara.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.