Semalam pelakon Hafidz Roshdi hadir di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu bagi menghadapi pertuduhan menumbuk bekas isterinya, Shuhada. Pelakon itu hadir bersama peguam dan beberapa pengiring yang tiba bersamanya di perkarangan mahkamah.
Difahamkan, bapa kepada pelakon itu iaitu Roshdi Ahmad turut hadir bagi memberikan sokongan buat anaknya. Semasa ditemu bual oleh pihak media, Roshdi memberitahu dia berharap kes yang dihadapi oleh anaknya itu dapat diselesaikan dengan cara baik.
Dia juga turut menegaskan apa yang dibangkitkan oleh menantunya, Shuhada adalah satu fitnah dan menjejaskan nama baik keluarganya. Baginya, perkara tersebut sepatutnya dihentikan kerana ia merupakan satu fitnah buat keluarga mereka.
“Isu yang tak patut dibangkitkan sepatutnya kita elakkan kerana pada saya itu adalah tidak baik dan akan menjejaskan nama baik keluarga. Perkara tersebut perlulah dihentikan. Kami sama sekali bukan seperti yang difitnah dan kami selama ini memang berdiam sahaja.”
Dalam masa yang sama, Roshdi mengharapkan kemelut rumah tangga yang melanda anaknya itu dapat diselesaikan dengan cara yang lebih baik. Sebelum ini, Hafidz Roshdi memuat naik satu surat terbuka mengatakan apa yang didedahkan oleh Shuhada adalah palsu serta melampaui batas.
Hafidz telah dihadapkan ke mahkamah di atas pertuduhan mencederakan Shuhada namun pelakon itu mengaku tidak bersalah. Hakim memerintahkan Hafidz diikat jamin sebanyak RM4000 termasuk dengan syarat dia perlu menjalani rawatan dan pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.