Isteri kepada pelakon dan penyanyi Aliff Aziz iaitu Bella Astillah semakin mencipta namanya dalam industri hiburan. Mungkin ada yang tidak tahu, penyanyi ini sebenarnya mula aktif sebagai penyanyi lagu kanak-kanak malah menjadi penyanyi OST bagi drama terkenal Diari Ramadan Rafique.
Baru-baru ini, Bella mendedahkan dia sering kali menjadi mangsa dan dipergunakan di dalam industri hiburan sejak kecil lagi. Di dalam podcast di YouTube Hazeman Huzir ini, Bella berkongsikan tentang kejadian yang berlaku padanya semasa dia berusia 18 tahun.
“Sejujurnya, saya pernah disuruh (orang itu) duduk atas peha dia. Masa tu dia cuma cakap ‘duduklah atas peha abang’. Waktu saya umur 18 tahun. Saya selalu diambil kesempatan dalam dunia hiburan sejak kecil, dan perkara ini dipersetujui oleh ibu saya.”
Mahu jadi lebih tegas
Sedar dirinya sering dipergunakan, Bella mengakui kini dia mahu menjadi lebih tegas dan memberanikan diri untuk menolak sekiranya ada yang cuba mengambil kesempatan ke atasnya. Tambah Bella lagi, pada ketika itu dia tidak tahu bagaimana ingin menolak walaupun tahu perkara itu tidak sepatutnya berlaku.
“Kalau dulu saya tak tahu nak cakap ‘tidak’, saya hanya akan mengiyakan dan ikut saja. Walaupun hati tu rasa tak boleh, tapi saya buat juga. Itu yang saya nak ubah.”
Bella membuat pendedahan tersebut semasa berkongsikan mengenai perjalanan kariernya sebagai seorang penyanyi lagu kanak-kanak sejak kecil dahulu. Difahamkan, Bella dan adiknya, Didi Astillah pernah membuat 10 buah album lagu kanak-kanak yang dihasilkan sendiri oleh bapanya iaitu Awang Astillah Abdullah.
“Masa kecil, nak menyanyi tak senang dapat peluang. Selalu menyanyi dekat mall.. tapi masa tu kami tak tertanya pasal payment. Saya tak tahu rupanya penjualan album lagu kanak-kanak ini sampai ke Brunei dan Singapura. Mereka dapat banyak duit, tak setimpal dengan apa yang kami raih.”
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.