Pelakon Puteri Sarah dan anak-anaknya kini sedang bercuti di Dubai selepas selesai mengerjakan ibadah umrah baru-baru ini. Di dalam perkongsian terkininya di Instagram, isteri kepada pengarah filem Syamsul Yusof ini dilihat membawa anak-anaknya melawati Dubai Desert Safari.
Perkongsian Puteri Sarah turut mencuri tumpuan ramai apabila dia memuat naik kapsyen seakan-akan sedang membawa diri untuk mencari ketenangan. Seperti yang semua sedia maklum, pelakon itu dan suaminya kini sedang melalui kemelut rumah tangga yang sudah empat tahun hangat diperkatakan.
“Tenangkan dirimu dalam segala situasi, kerana ketenangan adalah kekuatanmu.”
Hantaran yang dimuat naik oleh Puteri Sarah ini turut menerima reaksi dari ibu mentuanya, Datin Patimah yang meluahkan rasa sebak melihat menantu kesayangannya ini. Di dalam komen yang ditinggalkan itu, Datin Patimah berasa sedih apabila Puteri Sarah membawa diri bersama anak-anaknya sehingga ke padang pasir.
Terima komen Dr. Fadzilah Kamsah
Bukan itu sahaja, pakar motivasi Dato’ Dr. Haji Fadzilah Kamsah juga turut sama meninggalkan komen di hantaran yang sama. Pakar motivasi itu memberikan kata-kata semangat buat Puteri Sarah dan mendoakan semoga pelakon itu akan terus kuat menghadapi dugaan dalam rumah tangganya itu.
“Benar, nak. Ramai orang hari ni minta cari kekuatan. Tetapi bila dapat kekuatan, ujian juga bertambah kuat. Bila dapat kekuatan, belum tentu tenang hatinya. Namun bila dapat tenang, maka kuat hatinya.”
Sebelum ini juga, pakar motivasi itu pernah meninggalkan kata-kata semangat buat Puteri Sarah dan anak-anaknya sebelum pelakon itu berangkat bagi mengerjakan umrah. Sekadar info, Puteri Sarah telah memfailkan tuntutan cerai terhadap suaminya sebelum dia dan anak-anaknya berangkat ke Tanah Suci.
Terdahulu, Syamsul Yusof mengesahkan dia sudah berkahwin dengan Ira Kazar di Thailand sekaligus mengesahkan khabar angin tentang hubungannya bersama wanita itu. Pasangan itu dinikahkan di sempadan Thailand oleh bapa pengantin perempuan iaitu pelakon senior, Kazar.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.