Seluruh negara dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Father Organic Farm yang terletak di Batang Kali pada Jumaat lalu. Insiden yang berlaku ini juga turut meragut nyawa puluhan mangsa yang berada di kawasan tersebut.
Sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan bagi mencari mangsa-mangsa yang masih belum dijumpai. Prihatin dengan kejadian yang berlaku ini, pengasas kosmetik dan usahawan Bonda Rozita turut tampil bagi memberikan bantuan kepada pasukan penyelamat.
Difahamkan, Bonda Rozita telah memberikan kebenaran supaya resort miliknya digunakan sebagai tempat berehat untuk pasukan penyelamat yang terdiri dari anggota polis dan bomba. Malah pekerja-pekerja di Rumah Terapi Alam yang terletak berhampiran dengan lokasi kejadian turut membantu menyediakan makanan.
Menerusi video yang dimuat naik ini, dapat dilihat pasukan penyelamat yang sedang berehat di dalam kawasan resort terbabit selepas melakukan operasi mencari dan menyelamat. Dalam masa yang sama, pemilik video turut berterima kasih kepada Bonda Rozita yang bermurah hati memberikan kemudahan itu.
Malah turut dapat dilihat, deretan trak polis yang diletakkan di dalam kawasan resort bersama-sama bantuan makanan dan minuman yang diberikan oleh Bonda Rozita. Di dalam sebuah lagi video lain, pekerja-pekerja di resort terbabit turut sama turun padang memberikan makanan kepada pasukan penyelamat.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen turut terharu melihat keprihatinan yang ditunjukkan oleh Bonda Rozita dalam situasi ini. Malah ramai yang memuji tindakan pantas yang dilakukan oleh usahawan ini bagi membantu meringankan beban pasukan penyelamat yang terlibat dalam operasi ini.
“Terima kasih bonda rozita dan juga abang-abang bomba. Moga Allah melimpahkan pahala buat kamu.”
“Bonda memang orang yang baik hati sangat, suka tolong orang…”
“Bonda memang pemurah.”
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.