Penampilan kumpulan Dolla seringkali menerima kritikan dari netizen gara-gara imej seksi yang ditampilkan mereka semasa membuat persembahan. Malah ada juga yang meluahkan rasa kurang senang melihat penampilan seksi mereka terutamanya untuk ahli yang beragama Islam.
Pelakon veteran, Rozie Othman yang merupakan nenek kepada Syasya Dolla memberitahu dia pernah menasihatkan cucunya itu berkenaan penampilan seksinya ini. Menurutnya, dia ada meminta Syasya untuk mengubah pemakaiannya dan tidak berpakaian terlalu seksi.
“Mengenai pemakaian seksi Syasya itu saya tahu dan sudah cuba menasihatinya. Saya cakap pada dia, seksi-seksi macam ni, nenek tak berkenan. Kurangkan, cuba ubahlah.”
Rozie memberitahu dia memahami jiwa orang muda yang suka mencuba sesuatu perkara yang baru. Namun dia berharap cucunya itu dapat berubah secara perlahan-lahan ke arah kebaikan dan menerima nasihat yang diberikannya ini.
“Saya pun dulu pernah muda seperti dia, jadi fahamlah juga jiwa orang muda ini. Cuma, apa yang saya harap dia dapat terima nasihat diberikan itu.”
Jelasnya, dia sudah menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang nenek dan kini terpulang kepada Syasya untuk menerima nasihat itu mahupun tidak. Dalam masa yang sama, pelakon berusia 60 tahun itu mendoakan Syasya akan diberikan hidayah untuk berubah kepada yang lebih baik.
Sebelum ini, penampilan seksi kumpulan Dolla sering menerima teguran netizen malah ada yang turut membandingkan dengan penampilan sopan artis luar negara yang membuat persembahan di Malaysia. Netizen turut mempertikaikan ‘double standard’ yang dikenakan apabila artis luar diminta berpakaian sopan namun Dolla dibenarkan tampil dengan pakaian seksi.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.