Pelakon Zarina Anjoulie dikatakan telah berpisah dengan tunangnya, Datuk Seri Khazrul Elzey namun punca perpisahan mereka tidak dikongsikan. Susulan perpisahan mereka ini, ada netizen yang mengorek kisah silam lelaki itu dan mendedahkan tentang kehidupannya semasa muda.
Kecoh di media sosial apabila ada individu yang membongkarkan kisah lelaki itu yang pernah berkahwin dan bercerai sebanyak lima kali. Malah tular semula video lama majlis pertunangan dan perkahwinan lelaki itu bersama bekas isterinya yang dimuat naik sepuluh tahun lepas.
Sedar dirinya menjadi bualan di media sosial, Khazrul memuat naik sebuah hantaran di platform Tik Tok untuk menjelaskan tentang dakwaan itu. Menurutnya, tidak menjadi masalah sekiranya seseorang itu berkahwin dan bercerai jika sudah tiada jodoh di antara mereka.
“Lelaki boleh kahwin 4, kahwin 100 kali cerai kahwin apa ada masalah kalau dah takde jodoh. Ada masalah ke?”
Tambahnya lagi, dia juga sudah cukup berani kerana telah menceritakan semua tentang kisah silamnya kepada Anju sebelum ini. Malah pelakon wanita itu juga tahu mengenai punca perpisahan di antara dia bersama bekas isteri dan menepis dakwaan dia menyembunyikan tentang kisah silamnya selama ini.
Dalam masa yang sama, dia berterima kasih kepada individu yang kembali berkongsikan semula video-video lama itu dan menaikkan jumlah tontonannya. Khazrul turut berseloroh dengan jumlah tontonan yang tinggi itu dia kini sudah boleh menjadi seorang YouTuber pula selepas ini.
“Terima kasih up video lama, dapat view banyak boleh jadi YouTuber pulak.”
Sebelum ini, Anju meminta bekas tunangnya itu untuk berhenti menjadikan dia sebagai bahan konten di media sosial susulan perpisahan di antara mereka ini. Dalam masa yang sama, pelakon itu berharap Khazrul dapat menjadi seorang yang ‘gentleman’ dan menghubunginya jika mahu menyelesaikan masalah mereka.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.