Susulan kontroversi yang membabitkan pelakon Hafidz Roshdi dan bekas isterinya Shuhada, ramai yang meminta nama pelakon itu disenarai hitamkan dari muncul di televisyen. Malah ada juga yang menyeru para pengarah dan penerbit untuk tidak mengambil pelakon lelaki ini membintangi drama mereka.
Penerbit popular, Datuk A. Aida turut mempunyai pandangan yang sama dengan netizen di mana dia mahu memboikot pelakon itu disebabkan kontroversi tersebut. Menurutnya, dia memahami kemarahan orang ramai terhadap pelakon itu dan tidak mahu membiarkan ia terpalit kepada drama terbitannya.
“Bagi saya, apa yang dilakukan Hafidz menyentuh sensitiviti masyarakat. Jadi, ini akan membuat penonton beremosi. Ini tidak bagus untuk syarikat produksi saya andai perkara seumpama itu terjadi.”
“Jadi, saya tidak akan ambil pelakon seperti dia. Kalau dia ada, drama saya mungkin tiada ‘rating’. Ini salah satu kemungkinan sahaja. Sama ada drama itu ‘meletup’ atau dikecam. Disebabkan itu, saya mahu elak.”
Walau bagaimanapun, dia masih boleh mempertimbangkan keputusannya ini jika pelakon lelaki itu benar-benar menyesali perbuatannya itu. Jelas penerbit popular ini, pihak produksinya sentiasa memberi peluang kepada pelakon sensasi namun bergantung kepada jenis masalah yang dihadapi mereka.
Terdahulu, rumah tangga pelakon Hafidz Roshdi menjadi bualan ramai selepas muncul dakwaan orang ketiga yang mengganggu mereka. Konflik rumah tangga pasangan ini berlarutan sehingga Shuhada mendakwa dirinya ditumbuk sebanyak tiga kali oleh bekas suaminya itu sehingga meninggalkan parut di wajahnya.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.