Konflik rumah tangga pasangan Farid Kamil dan Diana Danielle semakin tegang susulan temu ramah pelakon lelaki itu bersama program Melodi baru-baru ini. Di dalam program tersebut, Farid akhirnya berjaya bertemu kembali dengan anaknya, Muhammad selepas sekian lama tidak berjumpa.
Farid turut meminta Diana untuk tidak memperbesarkan insiden ‘petik cili’ di mana Farid menghukum anak perempuan mereka, Aurora dengan hukuman berdiri di hadapan dinding. Susulan kenyataan dikeluarkan ini, Diana kemudiannya menepis dakwaan insiden itu menjadi punca dia meminta cerai.
Di dalam hantaran yang dimuat naik di Instagram Story, Diana memberitahu suaminya itu telah bersikap baran selama berhari-hari dan tidak berhenti menengking anak mereka di atas perkara remeh. Malah Diana turut mendedahkan hukuman yang dilakukan oleh Farid terhadap Aurora.
“Dia dipaksa duduk dalam bilik Babah sebab nak sambung ‘ajar’ anak. Bila saya masuk bilik, anak saya tidur atas lantai depan pintu tandas, berlapik sejadah.”
Diana memberitahu dia kemudiannya cuba menolong Aurora namun Farid mengugut akan memukul kanak-kanak itu keesokan harinya jika dia cuba membantunya. Dalam masa yang sama, Diana mendedahkan suaminya itu sudah empat bulan tidak membayar nafkah malah perjalanan mereka mengerjakan ibadah umrah baru-baru ini juga ditanggung sepenuhnya oleh Diana.
“Bulan ni dah masuk 4 bulan tak bayar nafkah. Trip ke Mekah, saya bayar untuk semua 4 beranak. Saya tak harap pun dia bayar balik sebab dah biasa bila saya keluarkan duit untuk apa-apa, selagi tak ingatkan dia pun takkan ingat nak ganti balik.”
Selain itu, pelakon wanita tersebut turut mempersoalkan tindakan Farid sebelum ini yang meminta Diana untuk membuang namanya dari surat beranak anak-anak mereka. Ujarnya, Farid tidak sepatutnya mengugut sehingga sebegitu sekali dan menggunakan nama anak-anaknya sebagai ugutan.
“Kalau sayang betul pada anak, kenapa nak buang bin/binti anak? Kenapa nak suruh I filekan permohonan buang nama you dari surat beranak? Kenapa ugut kami macam tu?”
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.