Setiap kali bulan Ramadan menjelma, pasti ada sahaja berita yang kurang enak dikongsikan tentang makanan yang dijual di bazar. Sama seperti sebuah perkongsian yang tular minggu lalu apabila seorang wanita dikenali sebagai Emma yang membeli karipap berkulat dan berbau sampah di bazar Ramadan sekitar Kuantan.
Menurutnya, karipap yang dibeli itu sudah tidak boleh dimakan kerana mempunyai bau busuk selain kulat pada bahagian inti di dalamnya. Tambah Emma, dia sendiri sudah ‘masak’ dengan perangai segelintir peniaga yang sering menjual makanan lama namun tidak menyangka dia sendiri akan menjadi mangsanya.
Difahamkan, satu pertemuan sudah dijalankan di antara Emma, peniaga, vendor dan juga pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Malah mereka juga sudah berjaya mengenal pasti apakah punca yang menyebabkan karipap tersebut dalam keadaan yang sudah berkulat.
Jual semula karipap tak laku
“Peniaga bazar hanyalah sebagai orang tengah yang mengambil sedikit komisen bagi menjual kuih-muih dari vendor. Vendor telah mengakui silapnya di mana karipap itu sememangnya karipap hari sebelumnya (Rabu) yang telah dikitar semula untuk dijual semula pada Khamis.”
Difahamkan, sebanyak enam bekas karipap tidak habis dijual dan peniaga terbabit telah memaklumkan kepada vendor sama ada dia ingin mengambilnya semula. Namun pihak vendor meminta peniaga itu menyimpannya di dalam peti ais.
Pihak vendor meminta peniaga simpan dalam peti ais tetapi peniaga memberitahu peti aisnya tidak muat dan bertanya bolehkah karipap diletakkan di luar (suhu bilik). Kerana faktor rumah yang jauh dan peniaga memberitahu sudah lewat malam, vendor bersetuju sahaja karipapnya diletakkan di suhu bilik sehingga keesokan harinya.”
Mereka kemudiannya membuat keputusan untuk menjual semula enam bekas karipap itu pada keesokan harinya kerana menyangka ia masih dalam keadaan yang elok. Menurut Emma pula, ibunya tidak mengalami sebarang tanda keracunan makanan namun kakaknya mengalami cirit birit sebanyak dua kali pada pagi Jumaat.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.