Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur hari ini dikejutkan apabila Syamsul Yusof tidak jadi untuk melafazkan cerai terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana. Terdahulu, Syamsul dijangka akan melepaskan isterinya dengan baik selepas mereka berjaya mencapai kata sepakat.
Namun peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah memaklumkan draf penyelesaian itu tidak dapat ditandatangani selepas mereka gagal mencapai persetujuan. Difahamkan, jumlah mutaah yang tinggi dan kes saman terhadap Ira Kazar menjadi penghalang kepada perdamaian itu.
Menurut peguam syarie Azmi Rais yang mewakili Syamsul pula, Puteri Sarah telah meminda beberapa terma dalam draf persetujuan tersebut antaranya tindakan pelakon wanita itu yang masih mahu meneruskan saman terhadap Ira Kazar.
“Bila diserahkan draf persetujuan, kami dapati terdapat perubahan antaranya plaintif (Sarah) masih ingin meneruskan tindakan saman terhadap Ira Kazar dan keluarganya.”
Selain itu, dimaklumkan Puteri Sarah juga telah meminta jumlah mutaah yang tinggi dan tidak dipersetujui oleh Syamsul Yusof. Berikutan tiada lafaz cerai daripada Syamsul, prosiding dijangka akan diteruskan dengan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas.
Pasangan itu sepatutnya dijangka bercerai pada hari ini selepas kedua-dua mereka akhirnya duduk berbincang dan bersedia untuk berpisah dengan cara baik dengan terma-terma yang dipersetujui seperti nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian.
Puteri Sarah yang ditemui pihak media sebaik sahaja keluar dari dewan dilaporkan berada dalam keadaan yang berang dengan matanya yang bengkak seakan baru lepas menangis.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.