Baru-baru ini tular di media sosial video pelakon Adam Lee yang dilihat bergaduh dengan seorang lelaki di sebuah kedai karpet. Video yang dikongsikan oleh pemilik kedai karpet yang juga pelakon Dazrin Kamarudin itu kemudiannya menjadi bahan bualan netizen.
Malah kebanyakan netizen menganggap insiden yang berlaku itu merupakan satu gimik untuk mempromosikan kedai karpet tersebut. Namun selaku pemilik kedai, Dazrin menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan ia bukanlah satu bentuk promosi.
“Ramai yang tanya apa yang berlaku dan pelbagai spekulasi bertebaran. Pertama sekali, saya memang minta maaf tetapi saya tak sesuai untuk perjelaskan apa yang berlaku.”
Jelas Dazrin, pihaknya kini sedang merangka satu kenyataan untuk menjelaskan kejadian sebenar yang berlaku melibatkan pelakon Adam Lee dan Sweet Qismina itu. Tambahnya, pasangan itu memang hadir di kedainya untuk membeli karpet selain untuk membuat ulasan.
“Sejujurnya, saya cakap Sweet dan Adam memang datang ke kedai saya untuk mencari karpet dan melakukan sedikit ulasan untuk kami. Sebab itu memperjelaskan kenapa ada mikrofon di badannya. Tapi apa yang berlaku yang anda tonton dalam video itu tak ada kena mengena langsung dengan ‘marketing’ daripada kami.”
Difahamkan, insiden pergaduhan itu berlaku selepas Adam Lee dan Sweet Qismina selesai membuat ulasan tentang karpet di kedainya. Walau bagaimanapun, dia tidak dapat menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai apa yang berlaku seterusnya dan akan memberikan kenyataan dalam masa terdekat.
Dalam masa yang sama, Dazrin turut membuat permohonan maaf terhadap pasangan selebriti itu di atas kejadian yang berlaku di kedainya ini. Menurutnya, hubungan mereka masih lagi dalam keadaan yang baik dan kedua-dua pihak juga telah berdamai secara baik.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.