Usahawan dan personaliti media sosial, Hafiz Mahamad sememangnya terkenal dengan sikap pemurahnya kepada golongan yang memerlukan. Baru-baru ini, Hafiz memaklumkan tentang rancangannya untuk menaja 10 buah bas bagi mereka yang ingin pulang beraya di kampung.
Menerusi hantaran yang dikongsikan di Instagram Story, Hafiz berkongsikan perkembangan terkini tentang rancangannya itu dan meninjau sendiri keadaan bas. Hafiz meluahkan rasa syukur apabila hasratnya untuk menaja golongan yang memerlukan pulang beraya dapat direalisasikan.
“Jadi dalam 10 buah bas itu alhamdulilah dengan izin Allah raya tahun ini tiket kan kadang-kadang habis, mahal, mana tahu 10 bas ini dapat membantu sahabat-sahabat yang memerlukan. Jadi, saya nak pergi mesyuarat, nak tengok apa perkembangan terkini.”
“Tahun ini saya nak mudahkan dari segi pengurusan tiket itu, nanti memudahkan awak lah nak mendaftar. Saya nak pergi mesyuarat ni, doakan rezeki saya melimpah ruah tau.”
Difahamkan, usahawan itu akan memaklumkan kemudian mengenai sistem tiket bagi mereka yang berminat. Dalam masa yang sama, Hafiz turut meminta orang ramai dapat mendoakan dia sentiasa dimurahkan rezeki pada masa hadapan.
Perbaiki sistem pengurusan
Berdasarkan pengalamannya sebelum ini, Hafiz memberitahu mereka akan memperbaiki sistem pengurusan bas untuk menjadi lebih efisien. Ini juga akan membantu para penumpang untuk mendapat pengalaman yang lebih selesa untuk menempuh perjalanan pulang ke kampung.
Jelasnya, mereka hanya akan mengambil pemandu bas yang berusia di bawah 40 tahun dan mempunyai pengalaman 10 tahun memandu bas. Hafiz memberitahu ini bagi memastikan keselamatan penumpang adalah terjamin dan pemandu bas dalam keadaan yang ‘fit’ untuk memandu.
“Jadi, keselamatan orang yang kita sponsor nak balik raya nanti itu, insyaAllah terjaga la. Kita banyak terlepas pandang walhal pemandu bas sangat memainkan peranan. Kita akan bagi yang terbaik untuk awak, doakan.”
Di dalam hantaran yang lain, Hafiz turut dilihat mengunjungi kawasan stesen bas lama berdekatan Stadium Shah Alam yang akan menjadi tempat berkumpul. Tahun lalu, usahawan itu telah menaja tiga buah bas untuk golongan pelajar yang memerlukan untuk pulang beraya di kampung masing-masing.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.