Sebelum ini, selebriti dan usahawan Neelofa pernah menerima kecaman hebat apabila harga pakej umrah bersama dia dan suami dikatakan terlampau mahal. Difahamkan, pakej VVIP itu menawarkan harga RM35,000 untuk perjalanan umrah selama 12 hari bersama Neelofa dan PU Riz.
Namun baru-baru ini, Neelofa menjelaskan harga tersebut sebenarnya merangkumi hotel mewah di Makkah dan Madinah yang berbaloi dengan harga tersebut. Menurutnya, hotel yang dipilih oleh agensi Omrah Travel iaitu InterContinental Dar al Tawhid Makkah dan The Oberoi Madinah menawarkan kemudahan dan perkhidmatan terbaik.
Neelofa mengakui semasa dia berkongsikan poster tersebut, ramai yang berasa terkejut melihat harga yang ditawarkan untuk pakej tersebut. Namun dia memahami kegusaran mereka kerana mungkin ramai yang tidak tahu dan tidak pernah menginap di kedua-dua hotel itu.
“Bila saya kongsi poster itu ramai kata mahal tapi sebenarnya saya tak salahkan mereka sebab mungkin mereka tak familiar dengan hotel Dar al Tawhid Makkah dan The Oberoi Madinah.”
Tawar perkhidmatan terbaik
Tambahnya lagi, dia sendiri sudah beberapa kali pergi ke hotel tersebut dan selesa di sana kerana jarak yang sangat dekat ditambah pula dengan perkhidmatan terbaik yang diberikan. Difahamkan, pakej itu juga menawarkan perkhidmatan pengangkutan yang digunakan orang-orang kenamaan (VVIP).
“Sebenarnya kalau nak dapat harga untuk kedua hotel itu secara sendiri, mungkin lebih RM15,000. Bertuah sungguh sebab kita pergi dengan kumpulan, ada special price, booked banyak bilik, itu yang harga potong banyak.”
Terdahulu, pakej umrah bersama Neelofa dan PU Riz ini telah menjadi bualan hangat di media sosial gara-gara harga yang ditawarkan untuk pakej VVIP itu. Walau bagaimanapun, pakej itu telah pun habis terjual tidak berapa lama selepas ianya dibuka kepada orang ramai.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.