Pengacara Roslan Shah menepis dakwaan yang mengatakan tiada pengawal yang menjaga keselamatan artis di acara Hari Raya Mega Sale di Singapura hujung minggu lalu. Dakwaan itu tercetus susulan insiden yang berlaku pada Kamal Adli apabila dia diserang oleh seorang individu tidak dikenali di acara tersebut.
Jelas Roslan Shah, pihak penganjur ada menyediakan pengawal keselamatan yang ditempatkan di luar dewan memandangkan semasa kejadian berlaku acara tersebut sudah hampir ke penghujung. Tambahnya, sepanjang 18 tahun pengalamannya membawa artis ke sana, perkara seperti ini tidak pernah berlaku.
“Penganjur memang ada sediakan pengawal tapi kejadian menimpa Kamal itu berlaku dengan pantas. Ketika itu kebetulan mereka pula di luar dewan memandangkan acara nak habis. Orang kat dalam pun memang tengah berkemas. Itu malang tak berbau. Siapa-siapa pun memang tak jangka ia boleh berlaku.”
Roslan Shah memberitahu pihak penganjur juga tidak ‘lepas tangan’ sebaliknya mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas insiden yang berlaku kepada pelakon Kamal Adli ini. Menurutnya, segala kos pasangan suami isteri itu seperti penginapan dan rawatan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penganjur.
“Pihak penganjur tidak abaikan, mereka juga membantu Kamal dan Uqasha dari segi kos rawatan. Pengangkutan pulang ke Malaysia juga ditanggung.”
Dalam masa yang sama, Roslan Shah memberitahu keberadaan pasangan selebriti itu dirahsiakan buat masa ini atas faktor keselamatan. Malah dia sendiri tidak tahu bilakah Kamal Adli dan Uqasha Senrose akan pulang ke Malaysia namun berharap orang ramai dapat mendoakan kesembuhan pelakon itu.
Terdahulu, suspek yang menyerang Kamal Adli telah pun ditahan dan Mahkamah Singapura mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatri selama dua minggu. Impak dari serangan itu, Kamal Adli terpaksa menerima empat jahitan di bahagian kepala yang koyak sedalam tiga sentimeter.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.