Sebelum ini, kecoh di Twitter apabila ada individu yang menuduh penyanyi Khai Bahar telah memberi janji palsu kepada seorang wanita. Di dalam hantaran tersebut, individu itu turut meminta Khai Bahar meminta maaf kepada rakannya kerana telah dipermainkan oleh penyanyi itu.
Khai Bahar akhirnya tampil memberikan penjelasan susulan isu yang menjadi perbualan hangat di Twitter itu. Menurutnya, isu tersebut hanyalah satu salah faham sahaja dan dia juga sudah menyelesaikan perkara itu dengan baik bersama individu yang memuat naik hantaran tersebut.
“Saya pun tak mahu memanjangkan cerita, isu tersebut sudah berlalu beberapa minggu lalu. Ia sekadar salah faham kecil saja. Bila ada dakwaan saya pernah sakitkan hati wanita, saya rasa tak pernah sakitkan hati sesiapa.”
Tambah Khai, dia juga tidak suka sekiranya dia mempunyai masalah dengan orang lain kerana ia akan menyebabkan hidupnya tidak tenteram. Difahamkan, penyanyi itu dengan segera telah menghubungi individu yang memuat naik hantaran itu semasa isu itu menjadi tular di Twitter.
“Saya sendiri takut kalau saya pernah buat salah pada sesiapa sebelum ini. Bila saya nampak tweet itu tular, saya terus direct mesej tuan badan.”
Khai menjelaskan dia tidak mengenali individu yang memuat naik hantaran itu namun mereka berbincang dengan cara baik susulan salah faham yang berlaku ini. Individu itu juga telah pun memadamkan hantaran tersebut tidak lama selepas ianya menjadi tular di Twitter.
“Saya tak kenal pun wanita yang tweet itu. Saya tanya dia apa masalah saya pada dia, kami bincang cara baik.”
Terdahulu, individu tersebut membalas hantaran yang dimuat naik Khai di Twitter berkenaan dengan hubungan percintaan. Menurutnya, Khai Bahar telah memberikan pelbagai janji manis kepada rakannya dan menghilangkan diri serta datang dan pergi sesuka hatinya tanpa memikirkan tentang perasaan wanita itu.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.