Sebelum ini pelawak yang juga anggota kumpulan Zero, dikenali dengan nama Atu ada meluahkan mengenai isu bayaran yang sepatutnya sudah diterima namun sehingga kini masih tiada sebarang pembayaran diterima.
Terbaharu Atu Zero berasa bersyukur apabila ada rakan artis yang terlibat dengan projek di sebuah stesen televisyen tempatan sudah menerima bayaran mereka.
Bersyukur bayaran rakan-rakan artis dilunaskan
“Bayaran yang sangkut tu, alhamdulillah ramai otai-otai dan pelakon baru dapat bayaran mereka. Mereka call beritahu jika saya tak viralkan mungkin belum dapat dan mengucapkan terima kasih”
“Bukan nak cakap saya ni berani dan mereka tidak, tapi kita cerita tentang hak. Saya bukanlah tak kisah sangat mengenai duit itu tapi lebih kisahkan nasib rakan-rakan artis lain.”
“Tawaran kerja mereka pun bukan selalunya ada. Siapa lagi nak tolong bersuara untuk mereka kalau bukan orang macam saya.”
Bayaran Atu bernilai RM30,000 masih dibekukan
Bagaimanapun, menurut Atu atau nama sebenarnya Sharif Kunal Doli Sharif ini, bayaran yang sepatutnya diterima olehnya masih dibekukan syarikat stesen TV berkenaan. .
“Kawan-kawan lain sudah dapat bayaran dan hanya pembayaran saya yang dibekukan. Saya pun tak tahu kenapa, mungkin sebab saya bersuara.
“Kalau cerita nilai keseluruhan bagi tiga program yang saya buat ada dalam RM30,000”, kata Atu yang tidak mahu buka aib sesiapa tapi itulah kebenarannya.
Diminta buat permohonan maaf terbuka
“Saya tidak mahu panjangkan lagi isu ini. Cukup sekali saya bersuara mengenai pembayaran tertunggak ini. Saya ini hanya ada SPM dan tahap pendidikan mereka jauh lebih tinggi. Takkan mereka tak boleh berfikir macam saya,” kata Atu.
Malah dia juga mendedahkan wakil dari stesen TV itu memintanya untuk ke sana bagi mengambil bayaran yang dijanjikan.
Tambahnya lagi, sedangkan sebelum ini bayaran dibuat di dalam talian. Pelawak itu juga diminta untuk membuat permohonan maaf terbuka berkenaan video isu bayaran Atu Zero yang tular sebelum ini.