Macam yang diketahui ramai, Syamsul Yusof telah mengadakan satu sidang media baru-baru ini bagi menjawab beberapa kenyataan mengenai rumah tangganya. Dalam masa yang sama, ibunya Datin Patimah tidak henti menunjukkan sokongan padunya buat Puteri Sarah dalam hal ini.
Sebagai bapa, Datuk Yusof Haslam meluahkan rasa sedih dengan situasi yang semakin tidak terkawal ini di mana Syamsul menganggap nasihat seorang ibu yang memintanya untuk kembali ke pangkal jalan adalah sebagai racun.
“Pada bulan Ramadan yang baik ini saya harap kita semua dekatkan diri dengan Allah, jauhkanlah hati daripada berprasangka buruk terhadap orang lain terutama emak sendiri.”
“Saya harap Syamsul muhasabah, begitu juga mereka yang berkaitan. Ibu bercakap untuk kebaikan, minta kembali ke pangkal jalan, itu nasihat bukan terus anggap sebagai racun.”
Menurutnya, dia hanya mampu berharap kedatangan bulan Ramadan ini dapat membuatkan semua pihak terutama keluarganya untuk muhasabah diri. Tambah penerbit filem itu lagi, sekiranya seorang anak pulang bertemu dengan ibunya, segala kemelut yang berlaku sebelum ini akan dilupakan kerana perasaan sayang seorang ibu terhadap anak.
Enggan ulas apa yang berlaku
Walau bagaimanapun, Yusof Haslam enggan mengulas mengenai tuduhan anaknya yang mengatakan Puteri Sarah curang dengan lelaki lain dan permintaan Datin Patimah yang meminta Syamsul untuk menceraikan sahaja menantunya itu dengan cara baik.
“Cukup-cukuplah. Ibunya cuma mahu dia balik. Itu saja. Saya pun sudah pujuk isteri jangan membalas apa-apa. Kita doa saja semoga Allah lembutkan hati anak kami.”
Terdahulu, Syamsul hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur bagi memfailkan nusyuz terhadap isterinya, Puteri Sarah. Dia turut mendedahkan isterinya curang dengan bekas teman lelakinya dan mengganggu rumah tangga pasangan yang telah berkahwin.
Sementara itu, anda boleh juga baca kisah-kisah lain yang menarik di Syor.